Hampir 30 tahun jadi Ahli Parlimen Semporna, Shafie gagal selesai masalah sampah

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Walaupun sudah lebih lima penggal menjadi Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal disifatkan gagal mengurus masalah sampah di Semporna dengan baik.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu dilihat gagal menangani masalah sampah yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Masalah sampah di perairan berhampiran kawasan bandar Semporna sudah berlaku sejak dahulu lagi namun, mengapa keadaan itu masih berlarutan sehingga sekarang. Ini jelas menunjukkan Mohd Shafie tidak melaksanakan tugas dengan baik sebagai seorang wakil rakyat.

“Sebagai rakyat Sabah, kita malu dan amat kecewa apabila kawasan tumpuan pelancong itu mendapat jolokan sebagai bandar ‘sampah’.

“Semporna adalah sebuah kawasan pelancongan yang kini menjadi tumpuan pelancong China dan Korea. Apa persepsi pelancong jika melihat keadaan bandar yang dicemari dengan sampah,” kata Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar.

Beliau berkata, Sabah bukanlah sebuah negeri yang berhadapan dengan masalah sampah yang tidak diurus dengan baik. Maka, timbul persoalan mengapa sampah di Semporna masih tidak dapat diurus dengan baik.

Zulkarnain melahirkan kebimbangan sekiranya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengeluarkan notis merah sekiranya isu kebersihan sampah di Semporna tidak ditangani dengan baik.

Sekiranya notis merah dikeluarkan oleh pihak kementerian, secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada pendapatan penduduk setempat yang terlibat dalam sektor pelancongan.

Menurutnya, semasa pemerintahan Parti Warisan, beliau antara individu yang mendesak Mohd Shafie supaya segera menyelesaikan masalah sampah di Semporna. Masalah sampah terkawal pada ketika itu tapi, sekarang masalah itu kembali mencemarkan pemandangan pelancong yang berkunjung ke Pekan Semporna.

“Jadi kita tampil menyatakan bahawa salah satu punca kegagalan pengurusan sampah di Semporna adalah Mohd Shafie.

“Beliau (Mohd Shafie) tidak memainkan peranan dengan baik sedangkan beliau sudah menjadi ahli Parlimen di kawasan itu lebih lima penggal dan pernah menjadi Ketua Menteri selama 26 bulan. Apa yang telah beliau buat?,” ujarnya.

Justeru itu, G57 ingin mendesak agar Ahli Parlimen Semporna itu meletak jawatan atas kegagalannya mengurus isu sampah di Semporna.

You May Also Like