KOTA KINABALU: Pelan Induk Hutan 25 tahun akan menjadi garis panduan bagi pengurusan sumber hutan di seluruh negeri Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelan yang dirangka oleh Jabatan Perhutanan Sabah itu selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018 yang bukan hanya memberi tumpuan kepada hutan simpan tetapi juga kawasan hutan dalam tanah kerajaan dan tanah yang mempunyai pemilik.
Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Sabah telah mengambil pelbagai langkah proaktif untuk melindungi hutan Sabah sejak 1997 dengan melaksanakan konsep Pengurusan Hutan Lestari (SFM) secara sepenuhnya di Sabah.
“Usaha berterusan untuk mewujudkan keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar melalui rasionalisasi guna tanah perlu terus dilaksanakan sebagai alternatif penjanaan pendapatan baharu dan mampan bagi Sabah.
“Ini termasuk meneroka pelbagai inisiatif yang boleh menyokong program pemuliharaan hutan melalui penjanaan pendapatan bukan berasaskan kayu,” katanya semasa persidangan antarabangsa Heart of Borneo (HoB) : An Ecosystem That Provides di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Hajiji berkata, kerajaan Sabah komited dalam pemuliharaan sumber asli melalui kawasan perlindungan selaras dengan objektif pengisytiharan Inisiatif HoB pada 2007.
Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah telah mencapai banyak kemajuan dalam pemuliharaan hutan.
“Kini, lebih 27 peratus daripada keluasan tanah negeri atau kira-kira dua juta hektar telah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan 75 peratus daripada TPA berada dalam sempadan HoB Sabah,” katanya.
Menurut Hajiji, selaras dengan pelan hala tuju pembangunan kerajaan Sabah, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan juga komited untuk memperluas saiz TPA kepada 30 peratus keluasan tanah Sabah menjelang 2025.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga komited untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk meningkatkan tindakan iklim dan akan terus mengukuhkan hubungan antara perubahan iklim dan pembangunan mampan, di samping mengarusperdanakan tindakan berkaitan perubahan iklim ke dalam agenda pembangunan Sabah.
“Sabah juga komited untuk melaksanakan tindakan mitigasi yang diperlukan serta tindakan penyesuaian, merentasi semua sektor untuk menyokong Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) yang telah ditetapkan Malaysia di bawah Perjanjian Paris menjelang 2030,” katanya.
Ke arah merealisasikan usaha itu, kerajaan negeri juga telah mewujudkan Majlis Tindakan Iklim Sabah bagi menetapkan hala tuju dan mengkordinasikan pelan mitigasi perubahan iklim dan projek berkaitan di peringkat negeri.
“Kesemua usaha konservasi bermula daripada perlindungan, pemulihan, pengurusan sehingga kepada usaha mengarusperdanakan konservasi hutan dan perlindungan biodiversity,” katanya.
Menurut beliau, kesemua usaha itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan pemain industry serta institusi pengajian tinggi mahupun komuniti setempat.
Sehingga kini, sebanyak 110 Perjanjian Persefahaman (MoU) dan MoA ditandatangani bagi usaha pemuliharaan hutan Sabah dan hari ini sebanyak enam lagi MoU akan ditandatangani.
Hajiji juga menghargai sokongan diberikan kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim terhadap Inisiatif HoB.
Beliau berkata, sejak 2009, kira-kira RM48 juta telah diagihkan kepada Sabah untuk pelaksanaan Inisiatif HoB dan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan RM13 juta lagi untuk inisiatif berkenaan.