KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KPKT) mengambil tindakan segera dalam mengatasi masalah sampah di perairan Semporna.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, antara langkah yang diambil adalah membenarkan Majlis Daerah Semporna (MDS) melanjutkan tempoh kontrak selama lima bulan kepada kontraktor perkhidmatan pemungutan dan pembersihan sampah di perairan berkenaan.
Beliau, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, pihak kementerian juga telah mengarahkan MDS menjalankan pembersihan dan pemantauan dengan lebih sistematik.
Itu antara langkah diambil setelah mengambil kira teguran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kabinet Negeri Sabah mengenai tahap kebersihan di Semporna.
“Pada masa sama, sesi perbincangan dan libat urus antara Pejabat Daerah Semporna/MDS bersama semua pengusaha pelancongan di daerah Semporna telah diadakan pada malam Isnin. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap KKTP, untuk berbincang mengenai langkah-langkah yang perlu dilaksanakan.
“Turut diadakan sesi libat urus bersama Jabatan Kesihatan Daerah Semporna, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, MOTAC dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
“Antara program jangka pendek yang akan dilaksanakan adalah melakukan pemeriksaan berkala kebersihan dapur restoran-restoran dan pengsuaha hotel; serta mengadakan program gotong-royong bersama semua pengusaha hotel, restoran dan agensi pelancongan pada setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Joachim berkata, program jangka panjang adalah memastikan perkhidmatan jeti pelancong swasta yang sedia ada dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada pelancong.
Bagi jeti yang kini tidak dapat menampung jumlah kehadiran pelancong setiap hari, ia perlu dinaiktaraf oleh pengusaha-pengusaha jeti yang terlibat mengikut standard yang dibenarkan untuk keselamatan pelancong.
Pada masa sama, KKTP juga akan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam, Undang-Undang Kecil Premis Makanan dan Undang-Undang Kecil Hotel dan Lodging bagi mengawal operasi perniagaan supaya mereka mematuhi keperluan kebersihan dan keselamatan yang dibenarkan.