KOTA KINABALU: Pengiktirafan untuk meraikan Hari Sabah secara rasmi di bawah pemerintahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi makna besar kepada negeri Sabah.
Kerajaan GRS membuat keputusan yang tepat apabila bersetuju meraikan Hari Sabah secara rasmi pada setiap 31 Ogos, bermula tahun ini.
Kemerdekaan Sabah telah tercatat dalam lipatan sejarah pada tanggal 31 Ogos 1963, iaitu dua minggu sebelum pembentukan Malaysia.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, selepas bertahun-tahun berjuang untuk mendapatkan pengiktirafan meraikan Hari Sabah, akhirnya di bawah pemerintahan kerajaan GRS telah membuat keputusan yang tepat untuk mengiktiraf acara bersejarah ini.
Sambutan Hari Malaysia kali ini akan menjadi lebih bermakna apabila Sabah mula meraikan Hari Sabah buat kali pertama secara rasmi selepas 60 tahun negara ini dibentuk.
Beliau berkata, pengiktirafan ini bukan hanya satu simbolik tetapi, ia memberi gambaran mengenai peranan yang dimainkan oleh Sabah dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Parti politik seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) secara konsisten telah memperingati Hari Kemerdekaan Sabah biarpun ia tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan terdahulu.
“Dedikasi yang ditunjukkan menggambarkan semangat orang Sabah dalam memelihara sejarah mereka.
“Ini akan menjadi hari yang amat bermakna bukan hanya kepada mereka yang menyambutnya tetapi juga, kepada seluruh rakyat Sabah yang akan berkongsi semangat memelihara sejarah kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai Pengerusi Penganjur Hari Sabah yang akan diadakan di Tambunan pada 31 Ogos ini, beliau mengalu-alukan kehadiran semua rakyat Sabah dengan berpakaian tradisional masing-masing bagi meraikan kepelbagaian identiti dan budaya masyarakat di Sabah.
Mengulas lanjut katanya, antara pengisian sambutan Hari Sabah adalah perarakan, pameran sejarah, persembahan kebudayaan, acara pemasangan bunga api dan tamu tradisional yang akan memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui sendiri perjalanan menuju ke arah kemerdekaan Sabah.
Jeffrey berkata, bendera asal Sabah akan turut dikibarkan selain upacara menandatangani bendera gergasi Sabah.
Beliau berkata, penganjur turut bercadang mengadakan forum dan bengkel secara online pada 30 Ogos bagi memberi ruang kepada orang ramai belajar dan mengetahui tentang sejarah Sabah.
“Kami mahu menyediakan ruang untuk orang ramai berkomunikasi, belajar dan meraikan sambuatan Hari Sabah bersama-sama.
“Ini peluang untuk kita sama-sama mengenal asal usul kita dan juga memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengetahui tentang keunikan sejarah Sabah,” katanya.