Parti perlukan ahli komited, ikhlas berjuang: Redonah

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA BELUD: Ahli parti yang komited dan ikhlas berkhidmat amat penting dalam perjuangan membela nasib rakyat serta mengukuhkan kekuatan jentera parti.

Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Redonah Bahanda berkata, ahli parti yang komited mampu menggerakkan parti di peringkat akar umbi dengan lebih berkesan.

Katanya, parti merupa platform untuk berkhidmat dengan penuh ikhlas dan jujur kepada rakyat di semua lapisan tanpa mengira kaum dan kepercayaan.

Justeru itu, katanya, ahli parti yang mempunyai ciri-ciri itu sangat diperlukan dalam perjuangan khususnya Gagasan Rakyat yang baru dijenamakan atas aspirasi dan kehendak rakyat yang inginkan parti tempatan sebagai wadah perjuangan.

Redonah yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah berkata demikian semasa menyampaikan amanat pada perjumpaan dengan Jawatankuasa Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk di sini, kelmarin.

Redonah dalam ucapannya turut menggesa Wanita Gagasan Rakyat di bahagian supaya turun padang dan mempelbagaikan aktiviti untuk mendekati rakyat yang bersesuaian dengan kawasan masing-masing dan golongan sasar.

“Dekatilah rakyat dan fahami serta perhatikan denyutan hati mereka sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh lebih kurang dua tahun lagi,” katanya.

Menurut Redonah, program ‘mirumo-rumo’ (ziarah) atau apa juga sebutan program yang menjurus kepada pertemuan dengan masyarakat akar umbi perlu kerap diadakan oleh Pergerakan Wanita.

Katanya, program-program seumpama ini menjadi platform yang berkesan untuk menemui rakyat.
“Kalau di bahagian Beaufort ada program ‘Ringkat Kasih’ salah satu program yang membantu keluarga yang kurang mampu. Program ini boleh dicontohi oleh bahagian-bahagian yang lain,” ujarnya.

Pada masa sama Redonah mahu supaya pemimpin Pergerakan Wanita PGRS bahagian, pandai bercakap dan pandai bekerja.

“Kita tidak mahu ada pemimpin yang pandai bercakap tetapi tidak pandai bekerja. Kita mahu yang seimbang,” tambah beliau.

Hadir sama Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk, Nurul Fadzilah Noordin, Naib Ketua Wanita Najwa Shahida Yazid serta Ahli Jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat Tempasuk.

You May Also Like