KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah yang akan diadakan pada setiap 31 Ogos akan memperingati Sabah menjadi sebuah negeri yang merdeka sejak 60 tahun lalu.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Kabinet Negeri Sabah telah membuat keputusan pada mesyuarat minggu lepas bahawa Tambunan akan dipilih sebagai tuan rumah sambutan berkenaan pada tahun ini.
“Malah, kami juga memutuskan sambutan bagi memperingati hari bersejarah yang penting kepada negeri Sabah itu akan disambut setiap tahun. Namun, lokasi penganjuran akan dibuat secara bergilir-gilir mengikut daerah.
“Marilah kita memperingati hari berakhirnya zaman penjajahan British di Sabah. Tarikh itu menandakan satu permulaan kepada rakyat Sabah untuk mewujudkan pemerintahan sendiri,” katanya.
Selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963, Sabah bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura telah bergabung bagi membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
Hajiji berkata, sambutan Hari Sabah di Tambunan dijadualkan bermula pada jam 3 petang selepas selesai sambutan Hari Kebangsaan di Kota Kinabalu.