Kestabilan politik kunci utama kemakmuran negeri Sabah

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA MARUDU: Berpegang kepada semangat hijrah, kerajaan akan sentiasa berusaha menambah baik kehidupan rakyat tidak kira di bandar mahupun di luar bandar.

Setiausaha Politk kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa berusaha untuk menstabilkan politik, memantapkan ekonomi dan sosial di Sabah.

Kestabilan politik adalah kunci utama yang menjamin keamanan, kemajuan dan kemakmuran negeri serta negara akan terus berkekalan.

Beliau berkata, peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sendiri mempunyai pengajaran yang sangat besar iaitu mengajak umatnya untuk berusaha beralih kepada sesuatu yang lebih baik demi kehidupan yang lebih sejahtera.

“Kita semua perlu mengambil aspirasi hijrah ini untuk menganjak diri, keluarga, masyarakat dan negara ke suatu keadaan yang lebih baik lagi,” katanya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Daerah Kecil Matunggong pada Khamis.

Menurut Redonah, dalam meningkatkan keamanan dan kemajuan di negara ini, setiap rakyat perlu saling memberi sumbangan kepada negeri, negara dan ummah.

Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, sebagai rakyat Sabah, setiap individu memikul tangungjawab mengekalkan keharmonian antara satu sama lain meskipun wujud kepelbagaian latar belakang selain sikap bertoleransi, saling memaafkan dan menyantuni.

“Nikmat sebenar kehidupan itu ialah memberi, dan sumbangkanlah sesuatu, walaupun kecil tetap memberi kesan kepada pertumbuhan dan kemajuan umat seluruhnya.

“Kita juga wajib menjunjung dan berpegang teguh kepada Perlembagaan serta undang-undang negara dan juga undang-undang negeri kerana ia merupakan kunci keadilan dan penyatuan,” ujarnya.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Pengerusi Sambutan Maal Hijrah peringkat Daerah Kecil Matunggong, Tasyriff Jahamin. Tokoh Maal Hijrah dianugerahkan kepada Syamsuddin Abdullah dan Anugerah Khas Maal Hijrah pula diberikan kepada Musdin Samsapil.

You May Also Like