Hab Pembekalan Makanan Bersepadu rancakkan aktiviti ekonomi Sabah

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan pembangunan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi Sabah.

Beliau berkata, usaha McDonald’s Malaysia mewujudkan hab pembekalan makanan tersebut  bukan hanya membolehkan lebih banyak restoran makanan segera itu dibuka di Sabah malah, ia akan turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam kalangan anak tempatan.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan usahasama antara syarikat-syarikat franchise dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi menerokai potensi perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negeri ini”, katanya semasa merasmikan Restoran Pandu-Lalu McDonald’s di Jalan Sulaman 2, hari ini.

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara McDonald’s Malaysia dan KKIP dalam usaha membangunkan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu.

MOU itu merupakan jalinan kerjasama yang akan menyaksikan pemerolehan empat ekar tanah di kawasan KKIP bagi pembinaan hab pembekalan makanan itu.

Hab ini akan melibatkan tiga pembekal utama McDonald’s Malaysia iaitu Bimbo QSR, Tyson Foods dan HAVI Logistics yang akan mendirikan kilang, gudang dan pusat penghantaran.

MoU itu ditandatangani antara pihak McDonald’s yang diwakili Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, KKIP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Laurence Kimkuan; Bimbo QSR diwakili oleh Naib Presiden Transformasi Global, Natasha Galavotti; Tyson Foods diwakili oleh Naib Presiden, Unit Perniagaan Malaysia, Victor Sim dan HAVI Logistics Malaysia diwakili oleh Timbalan Pengurus Besarnya, Dominic Alexander Lopez.

Pada majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah.

Turut hadir adalah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Phoong Jin Zhe yang juga Pengerusi KKIP, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip.

You May Also Like