Kerjasama kerajaan perpaduan di Sabah kekal pada PRN akan datang

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, isu mengenai kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang perlu dibincangkan secara mendalam.

“Tetapi, saya ingin menyatakan bahawa pilihan raya akan datang, kita adalah dalam Kerajaan Perpaduan termasuklah PH di Sabah.

“Kita tidak boleh berpisah dengan rakan-rakan kita sama ada PH mahupun Barisan Nasional (BN) kerana kita mahu membangunkan Sabah dan rakyat kita.

“Jangan terlampau berpolitik sana-sini,” katanya ketika mengulas tentang pendirian Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee yang tidak mahu parti nasional bertanding pada PRN Sabah.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, kenyataan Presiden SAPP itu merupakan pandangan peribadinya.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, GRS mempunyai tujuh gabungan parti tempatan dan perkara berkaitan kerjasama menjelang pilihan raya belum lagi dibincangkan kerana pilihan raya lama lagi, iaitu dua tahun dari sekarang.

Pada masa ini, fokus kerajaan adalah untuk membangunkan negeri dan menyelesaikan masalah rakyat seperti masalah bekalan air dan elektrik.

Menurutnya, beliau ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri hari ini adalah kerajaan yang diterajui oleh GRS dan PH.

“Kita amat berterima kasih kepada PH,” katanya.

Mengulas tentang isu Ambalat yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P. Alian, Hajiji berkata, sekiranya tuduhan yang dibuat tidak betul maka, tindakan berkaitan akan diambil.

“Jika andaian ADUN Tungku itu tidak berasas maka, kita akan lihat macam mana perlu ambil tindakan. Sekiranya apa diperkatakan tidak betul, kita tidak boleh mengelirukan rakyat kerana isu ini amat sensitif,” katanya.

You May Also Like