Pertumbuhan ekonomi Sabah semakin baik di bawah GRS

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 3.7 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

Ia membuktikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) konsisten dalam membangunkan ekonomi Sabah sejak mengambil alih pemerintahan negeri pada September 2020.

Pada tahun pertama, GRS mencatatkan peningkatan 1.1 peratus dalam KDNK Sabah dan itu adalah satu permulaan yang baik kepada GRS.

Berbanding semasa pemerintahan kerajaan Parti Warisan, pertumbuhan KDNK merundum daripada 8.2 peratus pada 2017 kepada 1.5 peratus pada 2018. Ia terus menunjukkan penurunan kepada 0.5 peratus dan -9.2 peratus pada 2019 dan  2020.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Prof Madya Dr. Firdausi Suffian berkata, pertumbuhan KDNK di bawah pemerintaan kerajaan GRS semakin baik dan berdaya tahan dengan adanya perancangan yang mantap menerusi inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelan Hala Tuju SMJ amat penting dalam meningkatkan perbelanjaan untuk menyumbang kepada pemulihan ekonomi Sabah.

“Tanpa hala tuju yang strategik oleh kerajaan GRS menerusi pelan SMJ ini, situasi ekonomi mungkin menjadi lebih teruk.

“Penekanan yang digariskan kepada beberapa sektor seperti perkhidmatan, pelancongan, minyak kelapa sawit, minyak dan gas, pertanian, pembinaan dan pembuatan, sudah pasti membolehkan pemulihan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.

Firdausi berkata, walaupun KDNK merupakan indikator penting kepada perkembangan ekonomi namun, ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar.

Biarpun KDNK dilihat berkembang dengan baik namun, banyak cabaran lain yang perlu dihadapi.

Dalam kes Sabah, biarpun KDNK di negeri ini meningkat dan tahap pertumbuhan ekonomi baik namun, tahap kemiskinan dan kadar pengangguran juga kekal tinggi.

Menurut beliau, KDNK memberi impak yang baik kepada perkembangan ekonomi tapi, ia tidak dapat menurunkan kadar kemiskinan, menangani masalah gaji rendah, mengatasi pengangguran dan kos sara hidup yang meningkat.

Firdausi menjelaskan kadar KDNK menurun pada 2020 susulan permintaan terhadap minyak sawit yang menurun disusuli dengan isu berkaitan pandemik. Pembukaan semula sempadan dan kelonggaran diberikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membantu ekonomi untuk kembali berkembang.

“Saya fikir masih banyak yang kerajaan Sabah perlu lakukan tapi, satu perkara yang pasti, inisiatif SMJ membolehkan kerajaan meningkatkan perbelanjaan kerana KDNK kita mungkin menurun lebih teruk.

“Kita harus berterima kasih dengan inisiatif kerajaan GRS kerana ia menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan KDNK negara tahun ini.

“Tiga teras utama dalam SMJ iaitu pertanian, pelancongan dan sektor pembuatan telah menunjukkan perkembangan yang cukup signifikan,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan juga harus menangani isu pengangguran yang begitu tinggi di Sabah. Ketika ini, Sabah adalah negeri ketiga mempunyai pendapatan terendah secara bulanan iaitu RM1,782. Peningkatan kos barangan pula sudah pasti membawa kepada berlakunya inflasi. Justeru, agenda kerajaan seterusnya adalah membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

“Pada masa ini, pelan Ekonomi Madani telah menggariskan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kadar pendapatan rakyat melalui model gaji progresif dan penstrukturan semula ekonomi.

“Jadi, masih banyak yang perlu dilakukan oleh Sabah dalam membangunkan ekonomi secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas lanjut, Firdausi berkata, pertumbuhan KDNK yang baik di bawah kerajaan GRS menunjukkan usaha gigih kerajaan dalam membawa Sabah keluar daripada keadaan yang mencabar ke arah negeri yang lebih makmur.

Biarpun perjalanan untuk pulihkan sepenuhnya masih panjang tapi, beliau yakin Sabah berada di landasan yang tepat untuk memulihkan semula ekonomi di negeri ini.

You May Also Like