KOTA KINABALU: Mengambil kira kes kematian kanak-kanak akibat penderaan mencecah 220 kes dalam tempoh empat tahun ini maka, hukuman yang berat harus dikenakan terhadap pesalah yang terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak.
Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Erveana Ansari berkata, hukuman yang ringan tidak mampu memberi pengajaran dan peringatan kepada pihak yang mendera.
Hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kes dera pada masa akan datang.
Dalam kes terbaharu di sebuah tadika di Luyang, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun didera oleh pengasuh. Bagi kes ini, biarpun pengasuh tersebut mengaku bersalah tapi, hukuman penjara yang dikenakan haruslah tidak kurang daripada 10 tahun.
“Kes penderaan memberi kesan negatif dari segi fizikal, mental dan emosi yang akan menghantui kanak-kanak tersebut sepanjang hayatnya. Ibu bapa dan ahli ahli keluarga mangsa juga turut mengalami tekanan mental dan emosi akibat dari penderaan tersebut.
“Daripada video yang dimuat naik selama empat minit dalam kes tersebut membabitkan penderaan fizikal yang dilakukan berulang kali.
“Kes penderaan kanak-kanak telah meningkat secara mendadak walaupun Parlimen telah meningkatkan hukuman di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada tahun 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, dua kertas siasatan telah dibuka berkaitan kes penderaan kanak-kanak di sebuah tadika di Luyang itu. Satu kes dibuka mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 untuk pengasuh yang mendera kanak-kanak tersebut dan satu lagi di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi menyiasat kes ayah mangsa yang didakwa memukul pengasuh tersebut.
“Sebagai seorang ibu yang juga seorang peguam, saya berpendapat hukuman yang keras patut dijatuhkan terhadap pengasuh di dalam kes ini. Bagi ayah mangsa pula, saya berharap ayah mangsa tidak didakwa.
“Siapa pun ibu atau bapa yang melihat anak mereka didera seperti dalam kes ini, sudah pasti akan hilang pertimbangan dan mengamuk mengetahui anak mereka didera sedemikian rupa,” katanya.
Menurut Erveana, memandangkan siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan tapi, beliau berharap akan ramai peguam yang akan tampil membela ayah mangsa atas dasar pro bono.
Namun, jika mahkamah memutuskan ayah mangsa didapati bersalah maka, diharap beliau hanya akan dikenakan hukuman bon berkelakuan baik.
Pada minggu lalu, tular sebuah video merakam aksi seorang pengasuh di sebuah tadika yang bertindak menggunakan kekerasan terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang sedang makan.