ADUN Tungku harus digantung hadiri sidang DUN

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P.Alian harus digantung daripada menghadiri sidang DUN kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kegusaran terhadap rakyat Sabah.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya juga harus meminta ADUN Warisan itu supaya memohon maaf kerana menimbulkan syak wasangka kepada kerajaan.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata demikian semasa membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing hari ini.

Beliau berkata, laporan polis itu akan dipanjangkan kepada Speaker DUN Sabah bagi mengambil tindakan sepatutnya termasuk menggantung keahlian ADUN berkenaan.

Laporan polis itu dibuat susulan tindakan ADUN Tungku itu menuduh kerajaan Persekutuan menyerahkan blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Kenyataan berbaur fitnah itu dinyatakan oleh ADUN berkenaan semasa sidang DUN pada 10 Ogos lalu dan rakaman video itu telahpun tular dalam laman media sosial.

Malah, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin juga telah memberi maklum balas dan menjelaskan perjanjian ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia hanya membabitkan laut wilayah.

Perjanjian itu tidak menyebut tentang kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan pada 24 Jun lalu juga menyatakan kerajaan tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat.

Dakwaan kononnya perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang ditandatangani bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 8 Jun lalu membabitkan blok perairan itu adalah fitnah dan tidak benar.

Justeru, G57 tampil membuat laporan polis bagi membersihkan nama kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan selepas fitnah bersifat jahat dan tidak bertanggungjawab dibuat oleh ADUN Tungku.

Zulkarnain berkata, G57 juga mencabar ADUN Tungku itu mengulangi tuduhan kononnya kerajaan Persekutuan telah menyerahkan Ambalat kepada Indonesia.

Jelas beliau, biarpun setiap ADUN kebal dari sudut undang-undang kerana mengeluarkan kenyataan semasa berada dalam Dewan namun, laporan polis ini akan dihantar kepada Speaker DUN Sabah agar tindakan undang-undang dapat diambil selepas ADUN Tungku itu memfitnah dan berbohong semasa berada dalam DUN Sabah.

G57 juga akan berikrar akan membuat laporan polis terhadap setiap fitnah yang dibuat oleh pimpinan Parti Warisan terhadap kerajaan negeri dan Persekutuan.

You May Also Like