Adakah masih ada tempat untuk BN di Sabah?

Estimated read time 5 min read
Social Sharing

Keputusan pilihan raya di enam negeri di Semenanjung Malaysia menunjukkan prestasi Barisan Nasional (BN) yang semakin teruk, terutamanya UMNO.

Dengan memperoleh 17.6 peratus atau 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dan kebanyakan menang dengan majoriti tipis, kerusi milik BN dilihat semakin berkurangan.

Kini, tumpuan akan mula beralih kepada Sabah yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh dua tahun lagi.

Malah, jika dilihat keahlian UMNO di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia, melebihi setengah juta ahli.

Namun, keupayaan parti itu dalam memperoleh undi kaum Melayu di Semenanjung pada Sabtu lalu menimbulkan persoalan: Adakah BN masih relevan dalam arena politik di peringkat negeri?.

(Jika dilihat rakan komponen BN di Sabah iaitu Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tidak mempunyai sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah namun, situasi itu boleh berubah pada pilihan raya akan datang. Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup mungkin ingin bertanding di salah satu daripada tiga kerusi Murut di kawasan Parlimen Pensiangan dan beliau mungkin boleh menggunakan pengaruhnya untuk bertanding di kerusi lain. Jika itu berlaku maka, BN boleh terus kekal relevan).

BN Sabah pada hari ini sangat jauh berbeza dengan parti yang memiliki 80 peratus kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

Hari ini, BN bergantung kepada rakan sekutunya Perikatan Nasional (PN) yang kemudiannya bertukar menjadi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menang majoriti mudah pada PRN 2020 bagi membentuk kerajaan negeri.

Pada masa ini, BN Sabah diterajui oleh Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin selaku ADUN Lamag. Pengerusi BN Sabah adalah seorang ahli politik veteran dari Pantai Timur Sabah yang begitu lantang di Parlimen.

Keputusan PRN di enam negeri membawa kepada desakan untuk meminta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan. Malah, sebahagian pemimpin akar umbi UMNO percaya kes mahkamah membabitkan Ahmad Zahid telah menyebabkan sokongan terhadap UMNO semakin berkurang.

Jika dilihat, tuntutan sebegitu turut dilakukan terhadap Bung Moktar yang juga berhadapan pertuduhan rasuah di mahkamah.

Apabila mengimbau kembali kegagalan Bung Moktar mengulingkan kerajaan GRS pada Januari lalu menerusi Langkah Kinabalu, keadaan itu memberi kesan buruk terhadap reputasi BN Sabah.

Bung Moktar bekerjasama dengan Parti Warisan, yang pernah menjadi musuh BN. Menerusi Langkah Kinabalu, terbukti Bung Moktar dan Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal tamakkan kuasa dan pentingkan diri sendiri berbanding prinsip perjuangan parti.

Ketika kemelut itu berlaku, Mohd Shafie dikatakan pilihan pertama calon Ketua Menteri. Namun, apabila mereka gagal meraih sokongan ADUN BN, kedua-dua pemimpin itu bersetuju menawarkan jawatan Ketua Menteri kepada Bung Moktar selaku pemimpin BN.

Walau bagaimanapun, amat mendukacitakan apabila muslihat itu telah gagal dan ia sekali gus memusnahkan imej Mohd Shafie dan juga menjatuhkan kredibiliti Bung Moktar.

BN Sabah harus ingat bahawa rakyat Sabah mempunyai daya ingatan yang kuat. Kegagalan kumpulan yang menyokong Bung Moktar dan tindakan cuba mengulingkan kerajaan itu tidak mudah dilupakan.

Dengan sokongan terhadap BN yang semakin berkurang di Semenanjung dan penyertaan ahli UMNO ke dalam GRS, ia sudah pasti memberi kesan kepada hala tuju dan kepimpinan BN Sabah. Bekas rakan sekutu mereka iaitu GRS pula dilihat semakin bertambah kukuh.

GRS muncul sebagai sebuah gabungan politik yang semakin kuat. Walaupun perkembangannya agak perlahan tapi, sokongan yang diterima semakin banyak terutama di kawasan Pantai Barat dan pedalaman Sabah.

Pada masa ini dapat dilihat, Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri telah berjaya memulihkan semula ekonomi Sabah yang merundum di bawah pemerintahan Warisan selama tempoh 27 bulan.

GRS selari dengan rakan seperjuangan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ingi berjuang bagi menjaga kepentingan Sabah dan Sarawak serta rakyat di kedua-dua negeri itu.

Menerusi kerjasama dengan GPS, kedua-dua negeri ini akan bekerjasama secara harmoni bagi mendapatkan semula hak kedua-dua negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Setakat ini, kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) telah berbincang dan menunjukkan perkembangan yang baik dalam usaha menurunkan kuasa kepada negeri.

Adakah BN mampu menjayakan perkara itu sekiranya mereka memerintah di Sabah. Semua orang tahu, BN telah memerintah Sabah selama lebih 30 tahun. Sepanjang tempoh itu, tiada seorang pun berani membangkitkan isu MA63 semasa sidang DUN, boleh tanya kepada Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Persoalan sekarang kemana hala tuju BN Sabah selepas ini? Apa yang akan dilakukan oleh Bung Moktar? Perkara itu akan terus menjadi persoalan namun, landskap politik Sabah masih bergerak maju ke hadapan biarpun tanpa Bung Moktar.

Perjalanan semakin sukar buat BN di Sabah, kedudukan serta sokongan terhadap mereka semakin berkurangan.

Berlainan dengan GRS, gabungan parti tempatan itu semakin berkembang dan bersatu. Di bawah kepimpinan Hajiji, GRS akan sentiasa memberi komitmen terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah.

Kejayaan GRS bukan hanya berkisar tentang kejayaan politik tapi, ia adalah tentang perubahan yang bermakna oleh sebuah kerajaan yang berdedikasi.

Dalam dunia yang menyaksikan dinamik politik kerap berubah, hanya mereka yang boleh menyesuaikan diri, berinovasi dan benar-benar prihatin terhadap rakyat mempunyai masa depan yang cerah.

Di Sabah, masa depan yang lebih cerah adalah bersama GRS, iaitu sebuah gabungan yang memperjuangkan tentang hak dan kepentingan negeri untuk membawa kemakmuran kepada Sabah.

Naratif mengenai pengaruh BN mungkin semakin pudar dalam sejarah politik Sabah. Rakyat kini mahukan pimpinan GRS yang menjanjikan masa hadapan yang lebih baik, bersifat inklusif dan seiring dengan aspirasi rakyat Sabah.

You May Also Like