Perkukuh Blok Borneo demi pembangunan Sabah

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Keputusan pilihan raya di enam negeri di Semenanjung memerlukan Sabah dan Sarawak terus mengukuhkan blok Borneo demi kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di negara ini.

Pengukuhan blok Borneo bukan hanya dapat menjamin pembangunan di kedua-dua negeri ini malah, ia akan memberi sokongan kepada kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut berkata, ketika ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang berusaha mengukuhkan blok Borneo bagi memastikan agenda pembangunan Sabah terus diberi keutamaan agar selari dengan pencapaian rakan seperjuangan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurut beliau, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Pengerusi GRS telah mencorakkan politik Sabah agar bercitra tempatan supaya relevan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

“Hajiji telah meletakkan ekonomi dan pembangunan Sabah ke satu tahap yang lebih kukuh,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Hajiji juga telah menyatakan pendirian untuk menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pendirian itu membolehkan GRS menyumbang kepada usaha mewujudkan kestabilan politik di negara ini. Ketua Menteri itu percaya politik yang stabil dapat membawa kesinambungan kepada usaha pembangunan Sabah dengan bantuan Persekutuan.

“Selaku pemimpin berpengalaman, Hajiji tahu baik dan buruk setiap langkah yang diambil. Itu sebabnya, sebagai ketua kerajaan, Hajiji mengalas tanggungjawab menyatukan parti-parti politik di bawah pimpinannya,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan di bawah pimpinan Hajiji sentiasa memberi perhatian kepada isu-isu rakyat dan kepentingan Sabah.

“Di Sabah, isu-isu kepentingan rakyat dalam persekutuan yang disuarakan kini menjadi agenda GRS. Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), 40 peratus kutipan hasil, Perjanjian Pemuliharaan Alam Sekitar (NCA) dan sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos sedang dibincangkan dan dilaksanakan dengan baik,” katanya.

“Malah, Hajiji juga memberi perhatian bagi menangani isu-isu kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik,” katanya.

You May Also Like