Isu Ambalat, ADUN Warisan digesa mohon maaf

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Berbohong dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Warisan (Warisan), Assaffal P. Alian digesa segera memohon maaf.

ADUN Tungku itu dilihat sengaja melemparkan tuduhan bahawa kerajaan Pusat menyerahkan blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada kerajaan Indonesia.

Tuduhan sebegitu jelas menunjukkan ADUN Warisan itu tidak sensitif dalam mengeluarkan kenyataan kerana ia boleh mengancam kedaulatan negara.

Justeru, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar menggesa Assaffal untuk segera membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan dan juga rakyat Sabah.

“Ironinya ketika ini, mereka bukan hanya menyasarkan fitnah terhadap Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah tetapi, mereka turut sasarkan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkarnain, ADUN Tungku itu juga harus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan selepas sengaja berbohong dan mengelirukan DUN.

Hari ini, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dalam satu kenyataan menjelaskan perjanjian ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia hanya membabitkan laut wilayah dan ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Mohamad berkata, sebagai Ahli Parlimen dari Sabah, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam apa isu termasuk yang membabitkan sempadan negara kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Dalam sidang DUN minggu lalu, menerusi ucapan perbahasannya, Assaffal memberitahu ahli Dewan supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama seperti pemimpin terdahulu yang menyebabkan Sabah kehilangan hak terhadap pelantar benua, Sabah kehilangan hak cari gali minyak melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Malah, sebelum ini, baharu sahaja berlaku apabila kita membiarkan kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak kerajaan negeri untuk menyerahkan Ambalat kepada kerajaan Indonesia.

“Ini antara kesilapan-kesilapan yang mungkin kita lakukan apabila kita tidak memperhalusi apa yang kita bincangkan,” katanya.

You May Also Like