Kenyataan Yong tidak lambangkan pandangan GRS secara kolektif

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Cadangan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah pandangan yang bersifat peribadi.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan yang diberikan tidak melambangkan pandangan GRS secara kolektif.

“Kita menghormati pandangan beliau namun, ia bukan melambangkan pandangan GRS secara kolektif.

“Perkara berkaitan kerusi DUN Sabah bagi pilihan raya negeri yang akan datang belum lagi dibincangkan oleh pimpinan tertinggi dalam GRS.

“Pada masa ini, Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah ingin terus komited melaksanakan segala agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri adalah stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dari GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

“Kita hargai dan berterima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah terutama sekali semasa kita menghadapi ‘Langkah Kinabalu’ pada awal tahun ini iaitu krisis politik yang ditimbulkan oleh Parti Warisan dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah,” ujarnya.

Tambah Nizam, sokongan dan kerjasama yang telah terjalin dalam kerajaan Perpaduan GRS Plus hari ini akan terus diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan negeri Sabah tercinta.

Semalam, semasa perasmian Mesyuarat Agung Tahunan cawangan-cawangan SAPP Zon Kota Kinabalu, Yong Teck Lee memberi cadangan supaya GRS yang kini dianggotai tujuh parti tempatan bertanding kesemua 73 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Katanya, GRS tidak perlu berunding dengan parti lain yang ingin menjadi rakan kerjasama bagi menghadapi PRN.

You May Also Like