KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini dianggotai tujuh parti tempatan harus bertanding kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee mengutarakan cadangan itu semasa majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan cawangan-cawangan SAPP Zon Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata, GRS tidak perlu berunding dengan parti bukan tempatan yang ingin menjadi rakan kerjasama pada PRN akan datang.
“Berdasarkan pengalaman lalu, perbincangan sebegitu hanya membuang masa. Kali ini, kita semua dalam GRS bertanding hanya guna satu logo sahaja, iaitu logo GRS,” katanya.
Menurutnya, pada pilihan raya yang lepas, semasa perbincangan dilakukan calon SAPP diberikan kerusi DUN Likas namun, pada saat akhir kerusi tersebut diberikan kepada rakan komponen lain iaitu MCA.
“Saya tidak sakit hati, sebaliknya saya tetap turun mengundi MCA pada hari mengundi. Perkara seumpamanya boleh menjejaskan jentera pilihan raya gara-gara keputusan diubah pada saat akhir,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, SAPP akan terus kekal relevan dalam arena politik tahan air dan parti itu akan sentiasa berjuang bersama rakan-rakan dalam GRS untuk menuntut hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Malah, semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi pada 2010, SAPP turut memperjuangkan isu MA63 dan ternyata ia membuahkan hasil. Ketika itu banyak pihak mempersoalkan perjuangan berkenaan tetapi hari ini MA63 menjadi agenda utama dalam pentadbiran negara.
“Ya betul, kita kalah pada hari itu, tetapi kita juga mengecapi kemenangan kerana SAPP yang memulakan perjuangan MA63 dan bukannya parti lain.
“Malah, kerajaan GRS juga berjaya mencapai pelbagai kejayaan dalam usaha menuntut hak Sabah dalam MA63,” katanya.
Teck Lee berkata, tuntutan dalam MA63 sememangnya mengambil masa yang lama, tetapi rakyat Sabah perlu bersatu dan tidak berputus asa dalam memperjuangkan MA63.
Ketika ini, GRS dianggotai oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), SAPP, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).