Hajiji bukti kemampuan buat kerja, tidak cakap kosong

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Walau tidak petah bercakap namun, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dilihat bertindak bijak dalam memulihkan ekonomi dan mendapatkan semula hak-hak Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Keputusan kerajaan Persekutuan memberi hak pentadbiran dalam bidang pendidikan dan kesihatan kepada kerajaan Sabah menunjukkan satu perkembangan yang baik.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, pemimpin yang mampu bekerja jauh lebih baik berbanding mereka yang hanya pandai bercakap kosong.

Beliau berkata, Hajiji bersama rakan-rakan pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerja dengan baik sepanjang tempoh hampir tiga tahun memerintah.

Kemasukan pelaburan yang berjumlah RM11.5 bilion sejak penularan Covid-19 hingga tahun lalu jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap kerajaan Sabah.

“Pada masa ini, ekonomi dunia termasuk Sabah masih dalam proses pemulihan dan kita kena menerima hakikat banyak industri yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Namun, kita dapat melihat industri pelancongan di negeri ini semakin meningkat tapi, masih jauh untuk mencapai tahap seperti sebelum pandemik,” katanya.  

Dalam pada itu, Kuok Tiung berkata, keadaan politik Sabah mungkin dipengaruhi oleh keputusan pilihan raya enam negeri di Semenanjung Malaysia. Maka, penting bagi kerajaan GRS mengukuhkan kerjasama dalam blok Borneo.

“GRS perlu mengukuhkan kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GRS) bagi membolehkan suara kedua-dua negeri ini menjadi lebih lantang. Maka, siapa juga musuh yang ingin mengganggu gugat kesepakatan blok Borneo, ia tidak mudah goyah,” katanya.

Menurut beliau, kemelut politik yang berlaku pada awal tahun ini cukup jelas menunjukkan pemimpin Sabah menghormati semangat demokrasi dengan memastikan GRS terus kekal menjadi kerajaan seperti yang rakyat mahukan pada pilihan raya lalu.

Kemelut yang membawa kepada kegagalan Langkah Kinabalu itu menunjukkan Pakatan Harapan (PH) Sabah enggan terlibat dalam kemelut yang berlaku tapi, pada akhirnya mereka menyokong GRS demi kestabilan politik di Sabah.

You May Also Like