KOTA KINABALU: Tanggal 26 September genap tiga tahun kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah di negeri ini.
Sepanjang tempoh tiga tahun itu, boleh dilihat perkembangan politik Sabah begitu mencabar sehingga menguji keutuhan perpaduan dalam parti-parti politik yang bergabung dibawah payung GRS.
Walau kesepaduan dalam gabungan parti tempatan itu diuji pada awal Januari lalu namun, kerjasama dalam GRS sangat utuh hingga sukar digugat oleh pihak lawan.
Malah, jika dilihat sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020 sehingga kini, ia merupakan satu tempoh yang amat bermakna kepada kerajaan sekarang kerana perubahan politik telah membawa kepada penubuhan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Syaruddin Ag Ahmad berkata, penubuhan Gagasan Rakyat bukan setakat mengukuhkan tunjang pemerintahan negeri ini tetapi yang lebih utama adalah memastikan kestabilan politik dapat dipantau pada tahap optimum.
Pihak pembangkang di Sabah mempunyai justifikasi untuk membidas dan memberi pandangan tentang cara pentadbiran negeri ini dicorakkan khususnya dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.
Namun, Kerajaan Negeri mempunyai alasan dan hujah yang jitu dalam menangani persoalan-persoalan dari segi prinsip dan kaedah mengurus ekonomi dan sosial.
“Faktor kelembapan ekonomi serantau dan global, kejatuhan nilai ringgit dan gelagat ekonomi tempatan khususnya berkaitan dengan penawaran dan permintaan barangan antara faktor-faktor luaran yang perlu dikawal selia secara berhemah dan strategik dan bukan secara emosional,” katanya.
Kini, hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menjadi nadi dan platform kepada GRS untuk merancang dan melaksanakan pelan pembangunan seterusnya menunaikan janji-janji parti pemerintah kepada rakyat Sabah.
Mengulas lanjut Syaruddin berkata, gabungan parti tempatan di bawah payung GRS telah membawa kepada politik yang lebih stabil di Sabah hingga membolehkan ekonomi di negeri ini terus berkembang.
Secara tidak langsung, prestasi cemerlang Kerajaan Negeri ini menentukan semula landasan politik yang matang dan pada masa sama, ia akan mengukuhkan kepercayaan rakyat serta parti pembangkang bahawa kerajaan ini berupaya membuktikan kestabilan politik membolehkan ekonomi Sabah terus berkembang.
“Kita dapat melihat usaha bersama Menteri-Menteri Kabinet Negeri dalam memastikan SMJ sebagai satu konsep pembangunan ekonomi dan sosial dapat direalisasikan secara berperingkat.
“Kemasukan pelancong yang meningkat dan pemulihan sektor pengeluaran dan perkhidmatan di negeri ini telah dapat dijayakan khususnya dalam menyediakan peluang-peluang pelaburan dari luar Sabah. Pada masa sama, ia turut membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.
Bagi tahun 2022 sahaja, Sabah telah merekodkan nilai pelaburan RM11.5 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi membabitkan 89 projek yang dijangka menjana 4,566 peluang pekerjaan.
Kerajaan negeri GRS juga membuktikan bahawa keyakinan pelabur sudah kembali seperti dulu apabila pelabur luar negara bersetuju untuk melabur dalam projek-projek berprofil tinggi bernilai lebih RM100 juta dalam sektor petroleum, mineral bukan logam dan peralatan pengangkutan.