KOTA KINABALU: Golongan yang tercicir dan tidak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan cuba dibantu bagi membolehkan mereka menerima bantuan berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sekiranya ada lagi rakyat berpendapatan RM5,000 ke bawah yang tidak menerima bantuan STR maka, kerajaan akan cuba membuat penyelarasan dengan pihak berkenaan supaya bantuan itu boleh diberikan kepada golongan yang tercicir.
Beliau berkata, pendaftaran penerima STR dibuat secara terus kepada agensi kerajaan berdasarkan data yang ada pada pendapatan penerima iaitu mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 ke bawah.
Jika ada mana-mana golongan yang layak tapi mungkin telah tercicir maka, mereka boleh memohon semula dan kerajaan akan cuba membantu mana yang boleh bagi memastikan golongan yang layak akan dapat menerima bantuan tersebut.
“Saya yakin data atau apa yang digunakan oleh kerajaan adalah tepat tapi sekiranya ada lagi rakyat berpendapatan RM5,000 ke bawah boleh menyatakan kepada kita dan kita akan selaraskan dengan pihak berkenaan supaya mereka dapat bantuan seperti yang ditetapkan kerajaan,” katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata, setakat ini seramai 799,782 orang penerima STR di Sabah membabitkan peruntukan berjumlah RM696.3 juta.
Secara keseluruhan, STR akan membantu meringankan beban sara hidup kepada lebih kurang 8.7 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 billion di seluruh negara.