Bekalan terkawal, lori swasta jual air dihentikan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Walaupun peruntukan RM320 juta daripada Kerajaan Persekutuan belum diterima namun, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memulakan program pemulihan bekalan air.

Kabinet Negeri telah bersetuju untuk memastikan JANS dapat memulakan program-program pemulihan bekalan air yang telah dirancang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, susulan keputusan Kabinet Negeri itu, JANS bersedia melaksanakan lapan inisiatif yang telah dipersetujui dengan Jawatankuasa Teknikal di Persekutuan.

“Saya ingin tarik perhatian, walaupun peruntukan ini menjadi isu buat seketika tapi, sebenarnya JANS telah memulakan langkah dengan membentuk satu jawatankuasa khas untuk program pemulihan dan penstabilan tekanan air khususnya di kawasan Kota Kinabalu, Tuaran dan Putatan.

“Daripada kerja-kerja pemulihan yang dilakukan pada Jun hingga kini, kita dapat lihat ada peningkatkan kestabilan tekanan air di sekitar kawasan Kota Kinabalu dan agihan bekalan air agak terkawal berbanding bulan-bulan sebelumnya.

“Jadi dengan adanya kelulusan Kabinet Negeri, kita akan memulakan kerja-kerja panggilan tender untuk lapan inisiatif yang telah dikenal paasti itu. Kita harap hasilnya nanti akan membolehkan agihan bekalan air di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya jadi stabil,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Menjawab soalan tambahan Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) mengenai isu lori tangki swasta, Shahelmey berkata, penjualan air melalui lori-lori tangki air swasta telah dihentikan sejak dua minggu lalu.

Maka, ketika ini tiada lagi lori-lori tangki air swasta yang akan menjual air secara terus kepada pengguna.

Menteri Kerja Raya itu berkata, sekiranya ada kawasan yang terputus bekalan air maka, Jabatan Air yang akan bertanggungjawab menghantar lori tangki air ke kawasan terlibat.

Begitu juga sekiranya premis-premis kerajaan terputus bekalan air maka, JANS akan menghantar lori tangki air ke premis kerajaan. Sekiranya lori tangki Jabatan Air tidak mencukupi maka, pihak jabatan akan mendapatkan bantuan syarikat tangki air swasta.

“Kita telah menghentikan khidmat lori swasta yang membeli air dan menjual semula ke kawasan-kawasan yang menjadi pelanggan mereka. Kita percaya dengan usaha pemulihan dan penstabilan tekanan air yang sedang kita lakukan maka, perkara ini sepatutnya tidak lagi terjadi.

“Untuk rekod, sejak dua minggu lepas, semua lori-lori swasta yang menjual air telah dihentikan,” katanya.

You May Also Like