KOTA KINABALU: Parti Warisan diingatkan agar tidak lupa bagaimana mundurnya ekonomi Sabah sehingga menguncup 9.5 peratus pada tahun 2020, walaupun ketika mengambil alih kerajaan pada 2018, mereka diwariskan dengan ekonomi negeri yang berkembang sebanyak 8 peratus.
Peringatan itu dikeluarkan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan selepas pemimpin-pemimpin Warisan mempersoal Kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) kononnya gagal mewujudkan pelbagai industri di Sabah, sebaliknya hanya bergantung kepada produk minyak.
Pada masa sama, Nizam turut ‘sekolahkan’ pemimpin Warisan bahawa usaha mewujudkan sektor industri di Sabah sedang dilaksanakan, namun proses tersebut tidak semudah menanam jagung yang boleh dituai selepas tiga bulan.
“Berbanding kerajaan parti Warisan selama 27 bulan atau lebih dua tahun lalu, mereka telah gagal mentransformasi ekonomi negeri Sabah.
“Tidak ingatkah pemimpin parti Warisan bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah menguncup pada negatif 9.5 peratus pada tahun 2020 dan diwariskan pada kerajaan GRS, sedangkan semasa Warisan mengambil alih kerajaan negeri pada tahun 2018, mewarisi pertumbuhan ekonomi di atas 8 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan melaporkan Sabah berada di kedudukan nombor satu sebagai negeri yang mencatatkan nilai eksport tertinggi tahun lalu berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung.
Kejayaan tersebut bagaimanapun tidak diiktiraf oleh Warisan sebaliknya pemimpin-pemimpinnya tampil dengan dakyah baharu kononnya GRS gagal mewujudkan kepelbagaian industri di Sabah.
Menurut Nizam, pemimpin Warisan cuba mengaburi mata rakyat kononnya nilai eksport itu hanya bergantung kepada hasil minyak berbanding Sarawak yang mempunyai hasil pembuatan, namun hakikatnya kilang-kilang industri di negeri itu telah wujud sejak sekian lama.
Jelasnya, usaha yang dilakukan oleh Kerajaan GRS untuk mewujudkan pelbagai industri perkilangan yang akan mewujudkan peluang pekerjaan di Sabah tidak pernah diperkatakan oleh Warisan kerana niat mereka cuma mahu mengelirukan rakyat kononnya kerajaan yang ada gagal.
“Pemimpin Warisan sengaja membutakan mata mereka dengan menafikan kejayaan pencapaian Kerajaan GRS meningkatkan ekonomi negeri Sabah walaupun baru mentadbir Sabah selama dua tahun setengah.
“Kejayaan GRS membina kilang industri hiliran seperti pembuatan kerajang tembaga (kerjasama dengan SK Nexilis dari Korea Selatan) yang dijangka mula mengeluarkan produk tahun hadapan merupakan komitmen kerajaan untuk mewujudkan industri hiliran bagi mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
“Selain itu, kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati, Kudat oleh syarikat Kumpulan Kibing telah mencipta pekerjaan kepada ribuan rakyat Sabah di samping limpahan aktiviti ekonomi menerusi pewujudan vendor-vendor perniagaan, apabila keluaran hiliran ini beroperasi sepenuhnya, maka barangan akan dieksport dan nilainya akan tercatat dalam nilai dagangan negeri pada masa akan datang,” katanya.
Menurut Nizam, pemimpin Warisan perlu menerima hakikat bahawa Kerajaan GRS mempunyai strategi yang hasilnya akan membangunkan negeri bukannya gelojoh dalam menguruskan ekonomi negeri.
“Pewujudan kilang berasaskan pembuatan tidak sama seperti menanam jagung, tiga bulan boleh dituai hasil. Kilang industri memerlukan masa.
“Sabah dalam mewujudkan kilang-kilang pembuatan mempunyai keutamaan sendiri, iaitu keutamaan daripada segi kelebihan komperatif. Atas sebab itu, sejak kerajaan GRS mengambil alih kerajaan negeri pada bulan September 2020, memilih industri yang mempunyai kelebihan komperatif, kerana dengan pendekatan sedemikian selain tidak perlu bersaing dengan pengeluar yang sama, juga boleh mewujudkan kos efektif.
“Pemimpin Warisan kena menerima hakikat, setiap negeri mempunyai strategi dan keutamaan mengurus ekonominya. Sabah menjadikan industri pelancongan, pertanian dan perladangan sebagai industri masa hadapan. Memang jika dilihat daripada nilai eksport, sektor pelancongan tidak dicatat sebagai nilai eksport, akan tetapi pada hasil kutipan pendapatan negeri,” tegasnya.