KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak permohonan semakan kehakiman Idris Hydraulic (M) Sdn Bhd terhadap Ketua Menteri dan kerajaan negeri, berhubung penamatan Lesen Pengurusan Hutan Lestari (SFMLA) bagi Unit Pengurusan Hutan 8 dan 13 (FMU 8 dan 13).
FMU 8 dan 13 merangkumi kira-kira 238,000 hektar tanah hutan.
Dalam penghakimann terperinci sebanyak 78 muka surat, Hakim Leonard David Shim mengesahka bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bertindak secara sah dalam bidang kuasa beliau seperti yang ditakrifkan oleh Seksyen 24A Enakmen Hutan 1968, ketika membatalkan SFMLA Idris Hydraulic atas alasan kepentingan awam.
Setelah meneliti permohonan semakan kehakiman, afidavit, dan hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, Leonard menyimpulkan pemohon gagal mengesahkan bahawa pembatalan SFMLA atas alasan kepentingan awam adalah tidak sah, tidak rasional, atau tidak seimbang.
Beliau tidak mendapati sebarang petunjuk bahawa responden mempertimbangkan faktor-faktor yang tidak relevan atau gagal mengambil kira faktor-faktor yang relevan dalam mengeluarkan notis-notis tersebut.
Oleh itu, hakim menganggap surat pembatalan, yang dikeluarkan selaras dengan undang-undang adalah sah.
Hakim Leonard mendapati bahawa Ketua Menteri, setelah mendengar hujahan Idris Hydraulic, dengan tepat memutuskan bahawa tidak dalam kepentingan awam untuk Idris Hydraulic dimiliki oleh bukan satu, tetapi dua pemegang saham yang tidak solvent.
Implikasi Idris Hydraulic berada di bawah kepemilikan syarikat induk yang tidak solvent adalah bahawa firma tersebut, bersama dengan SFMLA, akan dijual kepada pembida tertinggi.
“Ini bermakna kerajaan negeri akan kehilangan kawalan atas pengurusan, eksploitasi dan pembangunan sumber hutan asli Sabah, keadaan yang jelas tidak dalam kepentingan awam,” kata Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad, wakil bagi Ketua Menteri dan Kerajaan Sabah.
Fuad juga menyebut bahawa Idris Hydraulic telah gagal mendapatkan Rancangan Pengurusan Hutan yang diluluskan sejak dekad yang lalu, menyebut kegagalan penting ini sebagai bercanggah dengan kepentingan awam.
Idris Hydraulic (M) Sdn Bhd diwakili oleh Peter Lee Kong Chung, manakala wakil Ketua Menteri dan Kerajaan Sabah dipimpin oleh Fuad.