Kilang simen di Tongod, sedia 1,000 pekerjaan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Daerah Tongod bakal merasai lonjakan ekonomi melalui prancangan kerajaan untuk membina sebuah kilang pembuatan simen menggunakan batu klinker dalam tempoh dua tahun ini.

Pembinaan kilang bersepadu itu akan membuka sekurang-kurangnya 1,000 peluang pekerjaan di Tongod, seterusnya mampu merealisasikan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor untuk menghapuskan kemiskinan di negeri ini.

Menurut kenyataan Jabatan Ketua Menteri, kilang berkenaan akan mendapat akses kepada kira-kira 5,000 tan batu klinker setahun yang mampu menghasilkan kira-kira 1.75 juta tan simen setiap tahun.

“Projek tersebut akan mentransformasi Tongod, selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menghapuskan kemiskinan dengan membawa masuk projek berimpak tinggi untuk mencipta peluang pekerjaan.

“Kilang bersepadu batu klinker dan simen itu dijangka mencipta 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” kata kenyataan itu.

Projek berkenaan juga akan dapat memastikan bekalan simen di negeri ini sentiasa mencukupi termasuklah bekalan pada masa akan datang memandangkan keperluan simen semasa di Sabah ialah 1.4 juta tan setahun.

Projek berkenaan merupakan usahasama antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Sri Alam Setia Sdn. Bhd. dengan kerjasama Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd.

Ketua Menteri hadir dalam majlis menandatangani memorandum persetujuan antara kedua-dua pihak yang dimeterai hari ini.

Memorandum berkenaan ditandatangani oleh Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd. dengan Sinoma Industrial Engineering (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengeluar simen terkemuka dari negara China.

Borneo Cement diwakili pengerusinya, Datuk Masiung Banah manakala Sinoma diwakili Pengerusi, Liu Tao ketika menandatangani memorandum tersebut.

Sinoma turut komited untuk menyiapkan pembinaan kilang tersebut dalam tempoh dua tahun.

You May Also Like