KOTA KINABALU: Isu keselamatan di pantai timur Sabah tidak sepatutnya dipolitikkan kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan usaha menyelesaikan masalah yang timbul lebih sukar.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Ramli Dollah berkata, isu keselamatan di Sabah perlu ditangani bersama merentasi fahaman politik.
“Isu keselamatan di pantai timur Sabah sepatutnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana ahli politik. Ini hanya akan menjadikan isu ini lebih sukar diselesaikan.
“Tanpa mengira perbezaan politik, isu keselamatan di pantai timur Sabah adalah milik dan tanggungjawab semua orang,” katanya ketika dihubungi.
Ramli berkata, keadaan keselamatan di pantai timur Sabah sebenarnya terjamin ketika ini terutama sejak penubuhan ESSCOM untuk menjaga kedaulatan di sempadan negeri ini.
Katanya, agensi keselamatan itu bukan sahaja bekerja bersendirian sebaliknya turut mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa keselamatan Filipina terutamanya WESTMINCOM dan kerajaan Indonesia.
“Pasukan keselamatan, terutamanya ESSCOM sentiasa bersiap siaga memastikan keselamatan di kawasan terbabit daripada pelbagai bentuk ancaman seperti penculikan, penyeludupan, kemasukan migran dan sebagainya.
“ESSCOM sejak penubuhannya selepas berlakunya insiden Tanduo berjaya membuktikan ia berjaya mengekang ancaman keselamatan di pantai timur Sabah.
“Malahan saya menganggap bahawa ESSCOM perlu diteruskan bagi memastikan keselamatan ini terus terjamin dan menunjukkan kepada pihak luar bahawa Malaysia serisu menangani ancaman keselamatan di pantai timur Sabah,” jelas beliau.
Beliau mengulas mengenai nasihat perjalanan terbaharu dikeluarkan United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) yang meminta rakyat mereka berhati-hati dengan ancaman pengganas di pantai timur Sabah.
Perkara tersebut bagaimanapun menerima respon berbaur politik daripada pemimpin salah sebuah parti pembangkang di Sabah.
Ramli berkata, nasihat perjalanan yang dikeluarkan itu merupakan perkara yang perlu untuk langkah berjaga-jaga rakyat mereka maklumat sebenar yang berlaku sebenarnya bergantung kepada maklumat daripada sumber-sumber tertentu yang diperoleh setiap kedutaan asing terlibat.
Di pihak Malaysia, katanya, kerajaan perlu memastikan agar kawalan keselamatan berterusan di kawasan-kawasan terbabit.
Tambahnya, persepsi negatif terhadap keadaan keselamatan di pantai timur Sabah akan dapat diatasi jika kerajaan berterusan mengambil langkah proaktif termasuk memperkasakan ESSCOM dengan peruntukan yang lebih besar.
“Persepsi negatif ini boleh dipadamkan sekiranya kerajaan serius dalam menangani ancaman ini. Keseriusan ini dapat dilihat melalui kesanggupan pihak kerajaan untuk memperkasa ESSCOM melalui peruntukan-peruntukan yang lebih bagi menangani ancaman di kawasan ini.
“Pada hari ini, dengan pantai yang panjang dari Kudat ke tawau, adalah mustahil bagi ESSCOM untuk memantau kawasan ini dengan peruntukan yang terhad,” jelasnya.