KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu Jabatan Pendidikan Sabah mengenal pasti punca ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 di Sabah tidak hadir menduduki peperiksaan itu tahun lalu.
Katanya, berdasarkan laporan hanya seramai 34,461 pelajar daripada 40,147 yang berdaftar di Sabah menduduki peperiksaan SPM 2022.
Menurutnya, laporan Kementerian Pendidikan baru-baru ini juga menyatakan seramai 10,000 daripada hampir 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2022 mendaftar untuk ulangan peperiksaan tahun ini.
“Saya memberi perhatian serius terhadap isu ini di Sabah, kerana SPM adalah peperiksaan penting untuk masa depan anak-anak kita atau sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Selain itu, pendidikan adalah hak untuk semua.
“Justeru, berapa pun jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM 2022 di negeri ini, ramai atau tidak, saya mahu Jabatan Pendidikan negeri mengenal pasti kenapa mereka tidak hadir dan apa alasan mereka.
“Perkara ini membimbangkan kerana SPM adalah penting untuk pelajar mencorak masa depan mereka. Saya mahu pelajar dari Sabah yang tidak menduduki SPM 2022, ambil peluang untuk berbuat demikian pada tahun ini”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha pada Selasa.
Seramai 40 pelajar terpilih menerima ABCNS.
Turut hadir di majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim M.Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Gulamhaidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya.
Hajiji berkata, walaupun terdapat peningkatan 0.13 peratus dalam Gred Purata Nasional (GPN) keputusan SPM 2022 bagi negeri Sabah daripada 5.35 mata pada 2021 kepada 5.22 mata pada tahun 2022, namun masih jauh berbanding GPN kebangsaan sebanyak 4.74.
Pada masa yang sama katanya, jurang antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini juga melebar daripada 0.53 mata pada 2021 kepada 0.61 mata pada 2022.
“Kerajaan negeri mengambil berat mengenai isu ini dan ia harus diteliti secara terperinci bagi mengenal pasti punca kelemahan-kelemahan yang wujud”, tegasnya.
Sementara itu Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata, sejumlah RM668 juta telah dibelanjakan oleh Kumpulan YS, sebuah badan berkanun dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang memberi manfaat kepada seramai 41,221 orang pelajar Sabah.
“Semua itu dilakukan demi memberikan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan untuk memastikan mereka dapat mengakses pendidikan yang berkualiti”, tegasnya.
Menyentuh ABCNS, beliau berkata sehingga kini, seramai 715 orang pelajar telah mendapat manfaat daripada program itu yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM124.4 juta.
Menurutnya, para penerima ABCNS merupakan aset masa depan dan mempunyai peranan penting dalam memacu pembangunan negeri ini.
Jelasnya, sebagai pemimpin masa depan mereka harus mempunyai keupayaan untuk mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh untuk memenuhi permintaan pasaran selaras dengan ekonomi berasaskan pengetahuan dan kemajuan teknologi.
“Dalam era Revolusi Industri 4.0 yang sedang kita alami ini, kemahiran teknikal yang tinggi diperlukan untuk memenuhi keperluan industri agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
“Saya mahu penerima ABCNS menggunakanpeluangyang diberikan ini dengan sebaik mungkin dan sentiasa memiliki sifat ingin tahu serta berani berfikiran luas untuk meneroka aplikasi seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), Realiti Maya (Virtual Reality) dan gamifikasi (Gamification) sebagai langkah ke arah mewujudkan masyarakat yang celik teknologi tanpa menjejaskan kemampuan berfikiran secara kreatif”, tambahnya.