KOTA KINABALU: Jaminan bekalan makanan mencukupi di negeri ini merupakan antara perkara yang menjadi keutamaan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor demi memastikan kelangsungan bekalan setiap masa.
Ketua Menteri berkata, berikutan itu, satu jawatankuasa khas Kabinet di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) negeri telah ditubuhkan bagi memastikan isu tahap sara diri (SSL) Sabah bagi semua jenis pengeluaran makanan terjamin.
“Saya berbangga dengan usaha gigih MAFFI dan agensi-agensi di bawahnya serta agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang telah menggembleng tenaga bersatu padu menjayakan matlamat meningkatkan SSL pengeluaran semua jenis bahan makanan di negeri ini.
“Antara isu yang dikenalpasti, berkaitan dengan keluasan kawasan sawahyangsemakin kurang kerana telah digunakan menjadi kawasan pembangunan perumahandan kedai komersial. Bagi menangani isu ini, kerajaan telah meneroka kawasan penanaman padi baharu di Terusan Sapi, Daerah Beluran seluas kira-kira 2,000 ekar.
“Ia dimajukan secara bersepadu oleh MAFFI dan agensinya iaitu Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran dengan penglibatan pihak sektor swasta serta penduduk Terusan Sapi sebagai peserta penanaman padi,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak danNelayanperingkat negeri Sabah 2023 di Wisma Pertanian di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Ketua Menteri berkata, semua usaha yang diambil kerajaan ini bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan menghasilkan lebih banyak produk pertanian bernilai
tinggi untuk tujuan komersial yang berupaya merangsang pertumbuhan sektor berkenaan.
“Sektor pertanian, perikanan dan penternakan mempunyai potensi yang sangat besar untuk terus dibangunkan di negeri ini.
“Penekanan adalah kepada aktiviti-aktiviti rantaian nilai secara menyeluruh iaitu peningkatan pengeluaran, pengumpulan hasil, pemprosesan dan pemasaran yang lebih sistematik serta penggunaan teknologi terkini dan perluasan pasaran eksport ke luar negara,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, bagi sub sektor tanaman, sebanyak RM115.39 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pertanian untuk meningkatkan pengeluaran pelbagai
hasil tanaman, bagi menjana pendapatan golongan petani daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan.
“Usaha kerajaan untuk membantu golongan sasar B40 dan miskin tegar akan diteruskan menerusi (KPD) dengan peruntukan berjumlah RM20.28 juta. Seramai 2,015 peserta akan menerima manfaat daripada pelaksanaan pelbagai program ternakan dan tanaman.
“Di samping itu, KPD Smart System telah pun dibangunkan dan akan digunakan di pusat-pusat pengumpulan hasil tani KPD. Dalam subsektor perikanan pula, kerajaan negeri
menerusi Jabatan Perikanan, Ko-Nelayan dan SAFMA antaranya, akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin sumber bekalan perikanan yang mencukupi di negeri ini.
“Antaranya, menggalakkan nelayan muda mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar, pengkulturan rumpai laut, termasuk meneroka industri hiliran pemprosesan hasil perikanan dengan mengeluarkan produk seperti Keropok Amplang,” katanya.
Beliau berkata, sejumlah RM46.09 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perikanan pada tahun ini, bagi meneruskan pelbagai program jaminan pengeluaran hasil perikanan mampan untuk menampung pasaran dalam negara dan antarabangsa.
“Manakala bagi sektor ternakan, Sabah masih mengimport daging lembu, daging kambing, produk tenusu, produk ayam dan telur. Bagaimanapun, usaha sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah melalui Projek Memperkasa Industri Ruminan Sabah yang bernilai RM50 juta.
“Jabatan ini juga menjalin kerjasama dengan beberapa GLC melalui projek seperti Projek Integrasi Ternakan di Bawah Kelapa Sawit (PINTAR), Projek Ternakan Kambing dan Program Transformasi Ternakan,” katanya.