KOTA KINABALU: Penyelesaian terhadap tuntutan 40 peratus geran khas kepada Sabah dijangka dicapai menjelang tahun depan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Katanya, resolusi tersebut yang tertangguh selama 58 tahun penting bagi memastikan Sabah menerima hasil yang sepatutnya daripada hak yang ada.
Jeffrey yang mewakili Sabah dalam jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjanji akan menunaikan hak tersebut seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Rakyat Sabah telah menunggu lebih setengah abad untuk saat ini dan ia adalah kewajipan kami untuk memastikan penantian itu tidak berlanjutan,” katanya.
Jeffrey berkata, beliau menghargai penyelesaian interim melibatkan geran RM300 juta yang diperuntukkan Putrajaya, namun menegaskan ia cuma penyelesaian sementara.
“Walaupun peruntukan interim itu cukup banyak, ia hanya sebahagian daripada hak Sabah yang sewajarnya, RM300 juta itu sesungguhnya langkah positif tetapi matlamat akhir kita ialah jumlah sebenar 40 peratus daripada hasil bersih,” kata Jeffrey.
Ahli Parlimen Keningau itu turut berkata tiada keperluan untuk formula baharu dirangka membabitkan isu tuntutan berkenaan.
Beliau merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang telah menyediakan mekanisme tepat berhubung tuntutan berkenaan seperti termaktub dalam Artikel 112D, 112C dan 112C(6) bersama Perenggan 24 Laporan IGC.
“Maklumat dan data berkaitan untuk pengiraannya perlu disediakan oleh agensi Persekutuan seperti Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Pelan tindakan sudah ada, apa yang kita perlukan sekarang ialah data yang tepat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Sarawak menggunakan formula sama seperti Sabah bukannya mencipta yang baharu.
“Saya percaya keseragaman bukan sahaja membawa kepada kecekapan tetapi turut mempercepatkan penyelesaian dan mengelakkan penangguhan,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa penerimaan geran sebanyak RM300 juta itu tidak boleh disalah anggap sebagai melepaskan hak 40 peratus Sabah.
Sebaliknya, beliau memberi penekanan ia hanya langkah sementara bagi memastikan isu utama diselesaikan.
“Gabungan Rakyat Sabah sentiasa komited melindungi hak-hak dan kepentingan Sabah.
“Kami menyeru semua yang terlibat terutama sekali Kerajaan Persekutuan agar bekerjasama memastikan isu ini diselesaikan mengikut masa ditetapkan.
“Ia adalah kepentingan rakyat Sabah untuk kita mendapat hak sewajarnya daripada hasil itu, melindungi ekonomi demi kebajikan rakyat,” tambah Jeffrey.