KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghargai peranan penting Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Menteri berkata, sebagai rakan sekutu utama, perlu terus bekerja keras selari dengan parti komponen lain untuk menguatkan lagi gabungan parti tempatan sebagai pilihan rakyat Sabah.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian dalam mesyuarat bersama pimpinan tertinggi PBS di Sei Gaya, di sini, hari ini.
Rombongan PBS itu diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Seri Panglima Dr Joschim Gunsalam merangkap Timbalan Ketua Menteri serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam pertemuan itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, sebagai ahli komponen utama GRS, PBS berikrar untuk bekerja secara rapat dengan ahli komponen lain demi pengukuhan gabungan berkenaan.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah dua lagi Timbalan Presiden PBS iaitu Datuk Jahid Jahim dan Datuk Seri Panglima Dr Yee Moh Chai; Setiausaha Agung Datuk Julita Majungki dan Bendahari Agung, Datuk Lu Kim Yen.
Hadir sama, Naib Presiden, Datuk Ruslan Muharam dan Hendrus Anding serta Penolong Setiausaha Agung, Jonnybone Kurum dan Penolong Bendahari Agung, Lo Su Fui.