KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus meningkatkan perpaduan sedia ada untuk menjadi satu pasukan yang kuat dalam perjuangan parti, bersama membangun negeri dan seterusnya berkhidmat kepada rakyat.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata walaupun kerajaan negeri hari ini masih ada lebih dua tahun memerintah, namun jentera parti khususnya wanita GRS tidak boleh leka, sebaliknya terus bekerja untuk rakyat.
“Kita kena terus bekerja, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen GRS dan elakkan perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan kita.
“Sebab itu, peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar sekarang. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.
“Saya amat yakin di bawah pimpinan Ketua Wanita GRS (Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun), beliau akan membawa wanita GRS sekarang sebagai satu pasukan yang kuat. Saya juga yakin kita mampu perkukuhkan dan kuatkan lagi perpaduan yang sedia wujud ini sekali gus beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Jelajah Wanita GRS di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Ahad.
Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana tujuh parti tempatan dalam GRS terus bersama-sama untuk memastikan perjuangan rakyat dan negeri ini dapat diteruskan.
Katanya, pelbagai cabaran dan ujian ditempuhi kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran lebih dua tahun lalu.
“Ini termasuklah Langkah Kinabalu, apabila ada pihak yang cuba menggulingkan kerajaan negeri ketika itu. Bagaimanapun, saya bersyukur atas kesatuan dan perpaduan kita serta sokongan daripada PH, kita dapat mempertahankan kerajaan negeri.
“Mandat ini perlu kita pertahankan dan di sinilah juga peranan wanita GRS amat penting untuk kita mencipta kejayaan dalam PRN akan datang.