KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda mengingatkan jentera parti bahawa mereka tidak mempunyai masa yang panjang mungkin sekitar dua atau tiga tahun sahaja lagi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17.
Sebab itu, jentera pilihan raya Wanita Gagasan Rakyat perlu mengambil tanggungjawab ini mulai dari sekarang, bekerja keras lah bagi memastikan kepimpinan kerajaan hari ini terus kekal diterima baik oleh rakyat.
“Bagi mencapai hasrat itu adalah menjadi tugas setiap jentera parti untuk meraih sebanyak mungkin keyakinan rakyat terhadap Gagasan Rakyat untuk kekal menjadi parti dominan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Ramah Mesra Wanita Gagasan Rakyat tujuh bahagian (Sungai Sibuga, Sungai Manila, Gum Gum, Sekong, Karamunting, Elopura dan Tanjong Papat) di Livingston Hotel Sandakan, di Sandakan.
Hadir sama Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohamad Razali Razi; Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Aziah Atoh (Darau); Penolong Setiausaha, Fahzean Mohiddin (Kawang); Ketua Penerangan, Anna Bell Perian (Sungai Sibuga) serta Wanita Gagasan Rakyat tujuh bahagian dari Sandakan.
Redonah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah berkata, kepimpinan kerajaan hari ini bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi mesti kekal mendapat kemenangan besar pada pilihan raya akan datang.
“Kita mahu kepimpinan di bawah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor terus kekal memerintah negeri ini dan menjadi Ketua Menteri yang seterusnya.
Redonah juga mengingatkan jentera parti supaya sentiasa peka dengan isu-isu semasa serta isu setempat bagi membolehkan kerajaan mendapat maklum balas yang tepat mengenai masalah rakyat.
“Perkara penting ialah mengubah strategi dan gerak kerja kempen pilihan raya bersesuaian dengan perubahan iklim politik yang berlaku.
“Jentera pilihan raya perlu mengetahui bahawa pengundi muda masa kini akan menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti politik, sebab itu jentera mesti sentiasa berusaha mendekati golongan ini,” ujar beliau.
Terdahulu, Redonah mengadakan pertemuan dengan Wanita Gagasan Rakyat bahagian Sukau di Sukau Backpackers serta ziarah sayang di Kampung Sukau dan Kampung Bilit.
Perjumpaan itu disertai Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sukau, Dayang Norhayati OKK Piting bersama Ahli Jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat Sukau.