Razeef: Warisan cuba sabotaj Kerajaan Perpaduan?

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kenyataan pemimpin Warisan yang berterusan mempolitikkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walaupun rundingan untuk menyelesaikan isu berbangkit sedang dilakukan menimbulkan pelbagai persoalan.

Lebih-lebih lagi, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman dilihat semakin lantang menyebarkan fakta-fakta yang cuba mengelirukan rakyat Sabah mengenai MA63 walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkali-kali berjanji akan menyelesaikannya.

Bagaimanapun, usaha murni Anwar itu nampaknya tidak diendahkan oleh Mohd. Azis apabila menumpukan serangan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas khas), Datuk Armizan Mohd. Ali yang diberi kepercayaan oleh Anwar untuk menguruskannya.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin seperti dilaporkan semalam mendakwa seperti ada ‘cubaan’ daripada Warisan untuk mensabotaj Kerajaan Perpaduan walaupun parti itu merupakan sebahagian daripada anggotanya.

Katanya, sebagai Ketua Penerangan, Mohd. Azis sepatutnya membantu memberi penerangan mengenai dasar kerajaan bukannya cuba mensabotaj Kerajaan Perpaduan melalui serangan berterusan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya melihat serangan demi serangan dilakukan kepada Armizan dan ianya dilihat seperti sebuah serangan terancang yang sengaja ditujukan ke atas Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dalam kenyataan.

Warisan seperti diketahui cuba menjatuhkan Kerajaan GRS secara tidak demokratik pada Januari lalu melalui pakatan dengan UMNO Sabah, namun gagal selepas tidak mendapat sokongan daripada Perdana Menteri.

Sejak itu, siri serangan Warisan terhadap GRS tidak pernah terhenti, malah pelbagai isu sentiasa dimainkan oleh Mohd. Azis bukan sahaja di peringkat negeri malah terhadap Kerajaan Perpaduan membabitkan pelaksanaan MA63.

Mohd. Azis kerap kali mempersoalkan peranan Armizan kononnya tidak kompeten dalam banyak perkara antaranya 40 peratus kutipan cukai negeri, pemberian khas serta 17 perkara daripada 21 tuntutan yang didakwa Warisan sepatutnya telah selesai.

Armizan baru-baru ini tampil menjelaskan bahawa 17 perkara yang didakwa Warisan telah selesai itu sebenarnya belum diselesaikan secara mutlak kerana pelaksanaannya tidak semudah hanya bercakap.

Berikutan itu, beliau meminta Warisan memberi penjelasan apakah yang dimaksudkan sudah diselesaikan sedangkan dokumen dan fakta yang ada tidak menyatakan perkara itu sudah selesai.

You May Also Like