Hajiji Tegur Pihak Perlekeh SMJ

Estimated read time 4 min read
Social Sharing

SUKAU (KINABATANGAN):  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegur pihak yang memperlekeh Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan menjadikannya bahan sindiran terhadap Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, perbuatan pihak terbabit, khususnya pembangkang bukan saja tidak wajar, malah tidak menghormati ‘Sabah Maju Jaya’ sebagai cogan kata rasmi yang terkandung dalam jata atau lambang kebesaran Negeri Sabah.

Katanya, inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggunakan SMJ dalam pelan pembangunannya juga adalah untuk memartabat dan memperkasakan lagi cogan kata negeri Sabah yang sudah wujud sejak awal kemerdekaan negeri ini.

“Kita pilih nama SMJ kerana ia terletak di jata Sabah sejak awal kemerdekaan kita. Saya guna itu untuk memartabat cogan kata itu dan memperkasakannya lagi.

“Inipun SMJ jadi kritikan. Mereka yang dengki dengan kita, mereka yang dulu tiada hala tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif cakap SMJ jalan berlubang, SMJ air tiada”.

“Inilah yang dilakukan pembangkang hari ini. Ini niat tidak baik dan terlalu negatif kerana bagi kita SMJ adalah cogan kata yang mesti diperkasa dan dimartabat. Tiada orang guna ini sebelum saya tetapi saya guna ini untuk bangunkan Sabah,” katanya.

Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau / Lamag di Dataran Pekan Sukau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah; Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Penerangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Dato’ Juhari Haji Janan dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag, Encik Abu Bakar Gapar.

Hajiji berkata, ketika ini SMJ bukan saja diiktiraf di negeri ini, malah turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bersetuju menjadikan ‘SMJ’ sebagai nombor plat khas kenderaan kerajaan negeri.

“Baru-baru ini apabila saya berjumpa dengan Pengarah JPJ Sabah, mereka bersetuju supaya plat SMJ adalah dikhaskan kepada kereta Kerajaan Negeri Sabah”.

“JPJ mengkhaskan plat SMJ kepada kerajaan negeri sebagai pengiktirafan bahawa ia adalah satu hala tuju yang baik untuk Sabah,” katanya.

Katanya, banyak inisiatif di bawah SMJ yang sudah berjaya dilaksanakan termasuk bantuan kewangan untuk anak-anak Sabah melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah.

Beliau berkata, dalam tempoh lebih dua tahun memerintah, kerajaan pimpinannya juga melakar banyak kejayaan dalam aspek ekonomi termasuk berkaitan perjanjian dengan PETRONAS yang menyaksikan Sabah menerima perkongsian kepentingan dalam beberapa projek syarikat minyak dan gas negara, di Sabah.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin Gagasan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah untuk menarik sokongan rakyat di seluruh negeri termasuk di kawasan Lamag dan Sukau.

“Saya cukup gembira pada hari ini kerana nampak bahawa Gagasan Rakyat sudah mula diterima di Lamag dan Sukau, cerah masa depan dan saya berharap kedua-dua Ketua Bahagian terus kerja kuat untuk memastikan Sukau dan Lamag menjadi milik Gagasan Rakyat pada pilihan raya nanti”.

“Gagasan Rakyat adalah parti tempatan yang kita tubuhkan untuk teruskan perjuangan kita di Sabah dan ia adalah ahli GRS kerana dalam GRS kita ada tujuh parti yang akan memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah pada masa akan datang”.

“Inilah yang kita buat kerana itu hari ini himpunan rakyat dan pelancaran parti ini memberi cerminan kepada kita bahawa Sukau dan Lamag memerlukan Gagasan Rakyat untuk maju ke hadapan”.

“Percayalah kalau kita bersatu hati dan bekerja betul untuk rakyat, kita boleh lakukan, kita boleh tukar keadaan Sukau dan Lamag sepeti mana dikehendaki rakyat kawasan ini,” katanya.

Hajiji juga memberi jaminan akan memberi tumpuan kepada Lamag dan Sukau terutama keperluan rakyat di kawasan berkenaan.

Sejajar dengan itu, katanya beliau bersetuju meluluskan projek membina sebuah Dewan di Sukau yang bernilai RM 3 juta dan menyokong cadangan menjadikan Sukau sebagai sebuah daerah kecil.

“Kerajaan GRS akan memastikan Daerah Kecil Sukau menjadi kenyataan. Ini sudah lama dicadangkan tapi tidak diperjuangkan oleh pimpinan dulu”.

“Hari ini kita akan jadikannya kenyataan dan kita akan pastikan Pejabat Daerah Kecil Sukau dapat dibina,” tegasnya.

You May Also Like