KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali bersedia untuk berdebat dengan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman bagi memperjelaskan fakta sebenar berkaitan isu-isu Perjanjian Malaysia (MA63).
Armizan berkata, kesediaannya tidak terhad kepada Mohd. Azis sahaja tetapi terbuka kepada mana-mana pemimpin Warisan kerana objektifnya adalah untuk memastikan perjuangan menuntut MA63 diteruskan mengikut fakta yang sebenar bukannya mengelirukan umum.
“Saya tiada masalah sebab saya yang cadangkan kalau mahu berdebat biarlah secara bersemuka sebagai alternatif kepada cadangan mereka untuk masing-masing membuat ‘live’ (siaran langsung).
“Kalau saya mahu terangkan melalui ‘live’ tidak kisah, tapi kenapa tidak berdebat? Kalau dia cakap, saya boleh jawab terus dan orang boleh tengok dan dapat nilai apa fakta sebenar,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.
Armizan berkata, walaupun ada pihak yang mempersoalkan kenapa beliau perlu melayan ‘permintaan’ tersebut, namun tujuannya adalah untuk menjawab segala kekeliruan serta tohmahan yang dilemparkan terhadapnya selama ini.
“Bagi saya, kenapa perlu layan sebab fakta-fakta itu mengelirukan dan berkait rapat dengan tanggungjawab saya. Paling dahsyat nama saya dipetik, justeru saya perlu respon.
“Kalau tidak respon seolah-olah saya cuba menyembunyikan perkara-perkara tertentu sehingga disebut saya tidak main peranan…saya tidur dan tidak memperjuangkan hak.
“Saya tiada masalah, asalkan kita dapat memastikan debat itu berlangsung dalam suasana harmoni, adil dan memberi ruang yang sebaik-baiknya kepada pihak yang terlibat untuk mengemukakan hujah masing-masing,” jelasnya.
Katanya, debat berkenaan juga bukan berkaitan siapa menang atau kalah, tetapi ia persoalan dalam memberikan fakta yang sebenar kepada rakyat Sabah.
“Ini persoalan untuk mengetahui kedudukan yang sebenar supaya rakyat Sabah mempunyai kefahaman bersandarkan kepada fakta yang jelas, tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
“Ini kerana kita mahu memperjuangkan hak dan kepentingannya (MA63) dan kita perlu berdiri atas landasan dan fakta yang tepat.
“Bagaimana kita mahu berdebat dengan orang lain jika kita punya landasan dan suara tidak bersandarkan kepada fakta dan perundangan yang jelas bagi memenuhi tuntutan kita, itu paling penting,” jelasnya.
Dalam pada itu, Armizan terus berpegang kepada semangat Kerajaan Perpaduan dengan menghormati pemimpin-pemimpin terutama dari Sabah yang sama-sama dalam Kerajaan Perpaduan dalam memperjelaskan sebarang isu berkaitan MA63 di Parlimen.
Selain itu katanya, sebarang dokumen tertentu adalah sulit dan rahsia. Kerajaan mempunyai alasan mengkategorikan dokumen berkenaan sebagai sulit dan rahsia.
Namun jelasnya, isu yang dibangkitkan sekarang, ada perkara-perkara yang cuba disebutkan pihak berkenaan mengelirukan dengan menyentuh dokumen berkaitan.
“Itulah sebabnya saya cadangkan ada dokumen yang perlu dinyahklasifikasikan atau diturun taraf. Bagi saya terpulang kerana yang menentukan sama ada perlu atau tidak diturun taraf ini adalah kerajaan dan agensi-agensi berkenaan.
“Paling penting bagi saya semua kena bertanggungjawab tentang apa yang kita perjuangkan. Saya menjadi urus setia memegang amanah rakyat Sabah berkait dengan usaha kita supaya lebih banyak perkara berbangkit dalam MA63 dilaksanakan.
“Perjuangan ini bukan perjuangan saya seorang, perjuangan ini adalah perjuangan yang kita warisi berpuluh tahun daripada pimpinan Sabah dan rakyat Sabah,” katanya.