KOTA KINABALU: Keberkesanan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan faktor kestabilan politik yang dicapai di negeri ini dan merupakan perkara penting untuk kesejahteraan rakyat.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Tan Sri TC Goh berkata, kebijaksanaan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memimpin merupakan asas kepada kestabilan yang ada sekarang.
“Beliau adalah pemimpin veteran dan berkebolehan. Pendekatan mesra rakyat tanpa mengira kaum yang diamalkan juga membolehkan beliau sangat popular,” katanya yang juga Presiden Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Huazong).
Goh berkata, langkah Kerajaan GRS membentangkan Rang Undang-Undang Antilompat Parti pada Mei lalu dan telah digazet pada 16 Jun merupakan tindakan bijak dalam memastikan kestabilan politik berkekalan.
“Memandangkan tiada pilihan raya negeri sehingga 2025 maka kerajaan negeri mempunyai dua tahun untuk bekerja tanpa gangguan.
“Kerajaan negeri dan Persekutuan akan melengkapkan penggal pemerintahan tanpa perlu mengadakan pilihan raya awal.
“Saya berpendapat rakyat juga sudah bosan dengan pergolakan politik yang berlaku sejak beberapa tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Kanan Pacific Research Centre of Malaysia, Dr Oh Ei Sun menjangka pembangkang akan gerun terhadap kekuatan Hajiji dalam pilihan raya akan datang selepas melihat keupayaannya menyatupadukan pakatan yang besar dalam keadaan politik yang sangat buruk.
“Dalam erti kata lain, Hajiji sebenarnya telah dipandang rendah sebelum ini,” kata Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu.
Dalam pada itu, Goh bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Warisan akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam pilihan raya akan datang untuk menumbangkan GRS.
“Tetapi saya yakin rakyat Sabah cukup bijak untuk membuat keputusan sendiri apabila tiba masanya,” tambahnya.