KOTA KINABALU: Politik Sabah bakal menyaksikan kemunculan kuasa baharu sekiranya idea penggabungan dua parti bumiputera terbesar, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menjadi realiti.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, kedua-dua parti berasaskan Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) itu telah membincangkan perkara tersebut sebelum ini sebagai salah satu langkah mengukuhkan lagi kekuatan politik mereka.
“Pada mulanya kami mahu melaksanakan perancangan ini sebelum pilihan raya negeri (PRN) 2020. Secara asasnya kepimpinan kedua-dua parti telah bersetuju untuk meneruskannya, malah pemimpin daripada STAR telah berjumpa dengan penasihat PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
“Bagaimanapun, di sebalik semangat yang ada, perancangan itu tidak dapat diteruskan kerana beliau bukan Presiden PBS,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Nasional STAR semalam.
Dalam PRN Sabah 2020, PBS mendapat tujuh kerusi manakala STAR menang enam kerusi.
Idea mengenai penggabungan tersebut kini timbul kembali selepas Sabah ditadbir oleh parti tempatan melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Sambutan sangat positif malah perbincangan antara parti masih berlaku selain perubahan dalam pemikiran ahli PBS. Kesannya, saya berharap penggabungan ini menjadi satu realiti,” kata Jeffrey.
Jeffrey bagaimanapun mengaku banyak cabaran perlu diatasi seperti nama baharu parti, logo dan struktur kepimpinan, namun menyatakan hasrat agar penggabungan itu dilakukan sebelum PRN seterusnya bagi memudahkan persediaan.
Beliau berkata, idea itu sama dengan cadangan penggabungan semua parti berasaskan KDMR dalam Barisan Nasional (BN) pada 2018 melibatkan PBS, UPKO dan PBRS.
Menurutnya, penggabungan itu akan turut menambahkan lagi kekuatan mereka dan GRS sebagai parti gabungan.
“Menjadi sekutu masih tidak cukup kerana kami mungkin berdepan konflik dalam pengagihan kerusi. Perpaduan lebih penting daripada bertengkar soal kerusi,” tegas beliau.
Sejarah pilihan raya di Sabah telah menyaksikan banyak insiden ahli-ahli parti yang kecewa kerana tidak bertanding atau calon mereka tidak dipilih cenderung mensabotaj calon daripada parti gabungan lain.
Justeru, perspektif yang dibawa oleh STAR bagi menjayakan penggabungan tersebut bakal meyaksikan perpecahan yang timbul sebelum ini tidak berulang dan semua calon bertanding di bawah satu logo.