KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Telupid menyelar sikap Warisan yang kini menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat Sabah sedangkan hakikatnya mereka telah terbukti gagal membangunkan negeri ketika memerintah pada tahun 2018 sehingga 2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu bakar Titingan berkata, laporan sosioekonomi Sabah yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan mendapati ekonomi negeri mundur dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya sebanyak 0.5 peratus dan 1.5 peratus pada 2018 dan 2019 berbanding 5.1 peratus serta 8.1 peratus pada tahun 2016 dan 2017.
Katanya, data-data tersebut membuktikan bahawa pemimpin Warisan umpama tin kosong kerana hanya tahu bercakap besar dengan janji-janji manis, namun tidak mempunyai ilmu untuk mentadbir ketika berpeluang memerintah negeri.
“Negeri kita merekodkan KDNK 5.1 peratus dan 8.1 peratus pada 2017 iaitu kadar peningkatan yang setaraf dengan negara berpendapatan tinggi, namun segala-galanya merudum teruk selepas dua tahun Warisan memerintah.
“Kita masih ingat bagaimana Kerajaan Warisan pada waktu itu melaungkan slogan memajukan sektor pertanian tetapi hakikatnya, pada 2019 sektor pertanian merosot 0.6 peratus selain sektor pembuatan serta perlombongan dan pengkuarian turut jatuh 0.8 peratus dan 6 peratus,” katanya hari ini.
Beliau berkata, situasi sama turut berlaku membabitkan isu air dan bekalan elektrik yang melanda sekarang apabila Warisan hanya tahu menyalahkan Ketua Menteri sedangkan masalah itu telah berlaku sejak berpuluh tahun dan mereka juga tidak menyelesaikannya ketika memerintah.
Tegasnya, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebaliknya tidak melenting dengan segala tohmahan tersebut tetapi telah bekerja keras mencari jalan penyelesaian kerana beliau mempunyai jiwa kepimpinan yang berorientasikan rakyat.
Katanya, rakyat Sabah tidak lupa bagaimana Kerajaan Warisan melanggar undang-undang apabila melantik orang luar sebagai Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) iaitu bertentangan dengan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air Sabah 2023.
“Kita gembira kerana Ketua Menteri telah mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan RM320 juta bagi penyelesaian jangka pendek masalah air yang berlaku sekarang.
“Pemimpin Warisan pula hanya tahu menjelajah seluruh negeri dan membuat tuduhan tanpa rasa malu pada diri sendiri kerana sebelum ini mereka berkuasa tetapi tidak melakukan apa-apa,” katanya.
“Biarlah pemimpin Warisan terus menyalak kerana suara mereka tidak ubah seperti tin kosong yang diketuk, hanya akan mengeluarkan bunyi bising tetapi di dalamnya kosong, tiada faedah,” katanya.
habis