Pemutihan PPR dilaksana banteras ‘sewa atas sewa’

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah bertindak kejam dengan meminta para penyewa yang telah tinggal 10 tahun di Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) untuk berpindah, sebaliknya mereka yang layak akan dibenarkan untuk terus tinggal di situ.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, walaupun pelaksanaan sewaan maksimum 10 tahun telah dilaksanakan sejak 2012 kerajaan tetap memberi kelonggaran, namun hakikatnya beberapa langkah perlu diambil untuk memastikan hanya yang benar-benar layak diberikan peluang.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, langkah-langkah pemutihan akan dilakukan untuk menentukan status kelayakan setiap penyewa bagi memastikan golongan yang mengambil kesempatan seperti menyewakan semula rumah demi mengaut keuntungan dapat dibanteras.

“Kepada para penyewa yang masih layak dan ingin meneruskan penyewaan selepas tempoh 10 tahun, ia boleh dipertimbangkan untuk pelanjutan oleh LPPB, dengan persetujuan daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Kementerian dan LPPB akan membentuk satu jawatankuasa kerja untuk melaksanakan langkah-langkah pemutihan di PPR untuk mengesahkan status kelayakan para penyewa bagi memastikan hanya mereka yang layak dan benar-benar memerlukan berpeluang menduduki rumah PPR ini, serta mengelakkan mereka mencari keuntungan daripada penyewaan rumah PPR, seperti amalan sewa-atas-sewa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Joachim berkata, terdapat lapan perkara yang boleh menyebabkan status kelayakan penyewa terbatal iaitu perbuatan sewa atas sewa, pendapatan melebihi RM3,000, telah mempunyai rumah sendiri, menjadikan rumah sebagai persinggahan atau stor, menjadikan rumah sebagai inap desa atau homestay dan mempunyai tunggakan sewa.

Tegas beliau, dengan pemutihan itu, peluang kepada pemohon lain yang berada dalam senarai menunggu akan terbuka dan lebih ramai turut mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Sementara itu, Joachim berkata, kementeriannya menyahut seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor agar beberapa rumah PPR turut disediakan kepada golongan graduan yang sedang mencari pekerjaan demi membantu meringankan beban mereka.

Sebelum ini, surat LPPB bertarikh 19 Jun tular di media sosial menyebabkan pelbagai dakwaan tidak berasas timbul terhadap Kerajaan GRS kononnya semua penyewa di PPR diarahkan keluar.

Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah sebelum ini telah menjawab isu tersebut dan menyatakan bahawa terdapat hampir 9,000 pemohon lain berada dalam senarai menunggu untuk menyewa rumah PPR di seluruh negeri.

You May Also Like