Ekonomi Sabah berkembang selepas merosot zaman Warisan

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah dijangka mencatat pertumbuhan positif antara empat hingga lima peratus bagi tahun 2022 dan 2023 meskipun ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu kesan daripada ketidakstabilan pasaran global ketika ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pasaran eksport dan pelaksanaan program pembangunan termasuk kemasukan pelabur asing menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan tersebut.

Sebagai rekod, pertumbuhan ekonomi Sabah hanya 1.5 peratus pada 2018 dan 0.5 peratus bagi tahun 2019 semasa pentadbiran kerajaan Warisan iaitu sebelum pandemik Covid-19 melanda.

“Meskipun berada dalam keadaan ekonomi global dan nasional yang tidak menentu, ekonomi Sabah pada masa ini berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan apabila merekodkan pertumbuhan positif 1.1 peratus pada tahun 2021 berbanding penguncupan sebanyak 9.2 peratus pada tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini disokong oleh prestasi perdagangan negeri yang kukuh berikutan peningkatan positif aktiviti eksport negeri Sabah”, katanya pada Majlis Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSPRMKE-12) Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmy Yahya. Hadir sama ialah Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli dan rombongan Kementerian Ekonomi, anggota pentadbiran negeri, penjawat awam negeri dan Persekutuan, pemain industri, wakil pertubuhan awam, wakil badan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli akademik dan wakil pelajar institusi pengajian tinggi.

Hajiji berkata, agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri pada masa ini dirangka berdasarkan Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri di bawah RMK-12 bagi mencapai objektif “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan”.

Menurutnya, melalui Hala Tuju Strategik itu, tumpuan dan fokus pembangunan yang telah dirancang merangkumi semua sektor ekonomi dan sosial bagi memperkukuhkan pembangunan inklusif, meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengimbangi pembangunan wilayah, memperkasakan modal insan serta memastikan kemampanan alam sekitar, selari dengan hala tuju dan matlamat Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kerajaan negeri berterima kasih dan menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan sejumlah RM 14.976 bilion peruntukan di bawah Pelan Pusingan Pertama (RP1) sehingga Pelan Pusingan Ketiga (RP3), RMKe-12.

“Peruntukan ini adalah bagi membiayai pelaksanaan sejumlah 3,436 projek pembangunan melalui pelbagai kementerian, termasuk 1,181 buah projek baharu dan sambungan yang diluluskan di bawah RP3.

“Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja akan merancakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri, malah akan memberi manfaat kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat”, tambahnya.

Hajiji berkata, beberapa langkah diambil bagi mengatasi isu-isu yang menghalang pencapaian pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini, antaranya memperkasa pemantauan secara berterusan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO).

“Kerajaan negeri juga berharap agar peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan dapat disalurkan ke satu akaun amanah yang akan dipantau oleh kerajaan negeri. Cadangan ini adalah bagi memastikan peruntukan yang telah disalurkan dapat dibelanjakan sepenuhnya dan tidak luput sekiranya tidak dapat dibelanjakan”, tegasnya.

Katanya, kerajaan negeri juga menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa untuk mengurus projek-projek pembangunan yang bernilai RM50 juta ke bawah kepada kerajaan negeri serta mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabahdan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah sebagai Jabatan Teknik.

“Saya yakin keputusan Kerajaan Persekutuan ini tidak hanya dapat mengurangkan kerenah birokrasi, malah dapat mempercepat serta merancakkan lagi pembangunandi negeri Sabah, khususnya bagi memenuhi keperluan kemudahan dan infrastruktur asas, yang seterusnya akan meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini”, katanya.

Justeru, Hajiji menyeru agar semua pihak khususnya kementerian, jabatan dan agensi negeri memanfaatkan mandat yang telah diberikan untuk memastikan program-program pembangunan dirancang dan dilaksana dengan bermatlamatkan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

You May Also Like