Adun Tempasuk ajak belia sertai Gagasan Rakyat

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari mengajak golongan belia di kawasan itu supaya menyertai perjuangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) demi masa depan belia yang lebih berdaya saing.

Arsad berkata, Parti Gagasan Rakyat perlukan tenaga belia dalam parti kerana ini akan memudahkan kerajaan merangka strategi pembangunan sesuai dengan aspirasi belia itu sendiri.

“Kita boleh bayangkan sekiranya golongan belia ini memilih Gagasan Rakyat sebagai tanjakan perjuangan mereka pasti kekuatan parti akan bertambah kukuh dan kerajaan menjadi stabil,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk, baru-baru ini.

Arsad yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tempasuk berkata, kita mahu parti (Gagasan Rakyat) kukuh dan kerajaan stabil supaya segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar sesuai dengan misi dan visi Sabah Maju Jaya (SMJ).

Difahamkan, Sabah ketika ini adalah kedua terbesar mempunyai populasi belia iaitu kira-kira 2.07 juta orang selepas Selangor 2.9 juta.

Arsad berkata, jika golongan belia ini dimanfaatkan mereka boleh memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada kekuatan suara rakyat di Borneo yang sedang diperjuangkan oleh parti itu bersama rakan-rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik di negeri ini yang sedang rancak membangun menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor,” katanya.

Tambah Arsad lagi, jika dilihat dalam konteks yang lebih luas, kekuatan Gagasan Rakyat akan turut menyumbang kepada kekuatan suara GRS dan rakyat Borneo itu sendiri.

Beliau turut menyarankan kepada Ahli Jawatankuasa Bahagian, Sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk supaya terus bergerak sesuai dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan demi memperkasakan parti disamping permuafakatan dalam GRS kekal lestari.

You May Also Like