KOTA KINABALU: Pelbagai fitnah, tuduhan serta penghinaan yang dibuat oleh segelintir ahli dan pemimpin Warisan terhadap Ketua Menteri telah melampaui batas dan tidak boleh dibiarkan berterusan demi memastikan sifat saling membenci tidak menular dalam kalangan rakyat Sabah.
Berikutan itu, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tampil membuat laporan polis hari ini bagi mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap perbuatan jijik itu yang kini berleluasan di media sosial.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, perbuatan parti Warisan itu langsung tidak mencerminkan amalan politik sihat yang kononnya diperjuangkan selama ini.
“Kita lihat jentera parti pembangkang ini sengaja berniat jahat dengan memfitnah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kononnya sengaja menangis dan tangisan itu dituduh perbuatan seorang munafik.
“Lebih teruk lagi mereka mengeluarkan kata-kata negatif dengan menggelar pemimpin Sabah sebagai seorang tua yang bodoh dan perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali lebih-lebih lagi membabitkan pemimpin yang memperjuangkan kemajuan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini hari ini.
Katanya, kesemua kata-kata kesat itu dimuat naik di hampir semua medium media sosial dan jika dibiarkan boleh menjatuhkan reputasi baik Hajiji.
“Untuk makluman Hajiji secara spontan mengeluarkan air mata semasa berucap merasmikan Wisma Parti USNO di Donggongon selepas mengenang kembali pelbagai cabaran dalam perjuangan politik.
“Pihak pembangkang bagaimanapun mengambil kesempatan mendakwa keadaan ini sengaja direka-reka dan hanya tindakan munafik menyebabkan kami tampil membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap perlakuan melampaui batas ini,” katanya.
Beliau berkata pihak pembangkang juga perlu mengakui kejayaan yang dibawa oleh Hajiji sepanjang mentadbir Sabah termasuklah penambahbaikan kadar ekonomi serta kemasukan pelabur asing yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Ini bukanlah tindakan berpolitik yang sihat, sekiranya ingin berjuang lihatlah keadaan diri sendiri sebelum melontarkan kata-kata negatif sehingga memperlihatkan rendahnya imej pihak pembangkang itu sendiri.
“Marilah kita membudayakan politik secara berhemah dan bersikap matang sebelum membuat sebarang kenyataan bagi mencerminkan tingginya akhlak dan tahap intelektual sesebuah parti itu,” katanya.