Hajiji Mahu Rumah Transit Untuk Graduan Disediakan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

Kota Kinabalu: Kenaikan kos sara hidup ketika ini banyak membebankan golongan yang telah bekerja, namun cabarannya pasti lebih besar kepada para graduan yang sedang mencari peluang dalam alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Prihatin dengan permasalahan tersebut, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersetuju agar kerajaan menyediakan Rumah Transit Sabah Maju Jaya (SMJ) yang akan dibentangkan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan selepas ini.

Hajiji berkata, rumah transit itu boleh diwujudkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibina oleh KKTP memandangkan ketika ini masih banyak PPR yang sedang dalam pembinaan.

“Kita banyak lagi PPR yang belum siap seperti di Inanam. Jadi sebagai permulaan, kita maklumkan kementerian supaya menyediakan 50 unit contohnya daripada 1,000 unit dikhaskan untuk rumah transit ini dengan bayaran minimum,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara itu pada Majlis Perasmian dan Penutupan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) di sini kelmarin.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong. 

Hajiji berkata, penyediaan rumah transit itu merupakan antara perkara yang dicadangkan peserta MPPS dalam persidangan tersebut.

Katanya, dengan kadar sewa yang sangat rendah, rumah transit berkenaan mampu meringankan beban para graduan yang sedang aktif mencari kerja.

Menurut beliau, langkah itu diambil selari dengan komitmen Kerajaan GRS untuk membangunkan modal insan negeri seperti yang terkandung dalam pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.

Jelas Hajiji, kerajaan pimpinannya tidak pernah mengabaikan soal pembangunan modal insan, malah pelbagai insentif disediakan termasuk bantuan tunai kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pelajaran selepas tamat persekolahan.

“Kita tidak boleh lari dalam modal insan ini kerana anak-anak kita inilah jadi pewaris kita pada masa akan datang. Kerana itulah tumpuan kerajaan kita membangunkan modal insan. 

“Program ini adalah cara kita mengembangkan minda pelajar universiti Sabah dan ini kali kedua diadakan. Sepanjang bersidang tiga hari di sini, banyak usul dikemukakan. 

“Saya lihat dan ambil perhatian serta tindakan mana-mana usul yang kita fikir perlu diutamakan kerana suara anak muda amat penting bagi Sabah. Kita bukan saja dengar suara dan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan lain tapi suara golongan muda ini juga kita dengar dan beri keutamaan,” katanya.

You May Also Like