SEPANGGAR: Bosan dengan parti Warisan yang kini tidak lagi mampu membela nasib rakyat, satu lagi cawangan parti itu kini ditutup selepas semua pimpinan termasuk ahlinya meletakkan keyakinan kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kelmarin.
Kesemua mereka sepakat menutup Warisan Cawangan Taman Sepanggar Karambunai bagi membolehkan penubuhan dua cawangan baharu Gagasan Rakyat di kawasan tersebut sebagai saluran untuk membela nasib penduduk di situ.
Borang keahlian mereka untuk menyertai Gagasan Rakyat diserahkan kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris dan turut dihadiri Timbalannya, Nerudin Ludah dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian.
Penutupan cawangan terbaharu itu memberi petanda bahawa Warisan kini tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat Sabah memandangkan pelbagai kegagalan parti itu bukan sahaja sewaktu memerintah malah ketika menjadi pembangkang.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Warisan turut meninggalkan parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap pimpinan mereka yang hilang fokus terhadap isu rakyat, sebaliknya berterusan merancang usaha untuk menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik.
Mereka memilih untuk bersama Gagasan Rakyat kerana yakin dengan pimpinan Presiden, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk membangunkan negeri ini demi manfaat rakyatnya.