
KOTA KINABALU: Merealisasikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memerlukan dukungan dan kerjasama daripada semua pihak di Sabah tanpa mengira latar belakang politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, MA63 masih lagi relevan kepada semua masyarakat di Sabah, Sarawak dan Malaysia keseluruhannya.
Katanya, Perjanjian Malaysia 1963 adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak.
Armizan berharap supaya masyarakat di Sabah dapat memahami tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.
“MA63 merupakan tuntutan bersama maka itu semua masyarakat dan pemimpin bertanggungjawab untuk memberikan maklumat yang tepat kepada masyarakat berkenaan tuntutan kita,” katanya kepada media selepas Sesi Interaksi Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) bersama Datuk Armizan Mohd Ali, di sini.
Armizan yang juga Anggota Parlimen Papar berharap setiap maklumat yang disalurkankan mestilah tepat supaya masyarakat memahami tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.
“Selain memberi kefahaman mengenai MA63, melalui program sebegini juga penting bagi memastikan masyarakat kita tidak dikelirukan dengan kenyataan dan tindakan yang cuba memberikan fakta yang salah berkenaan MA63,” tegasnya.
Armizan berkata, memberikan maklumat yang salah sebenarnya tidak memberikan manfaat kepada kita kerana hujah dan asas tuntutan kita perlu bersandarkan kepada fakta yang jelas dan tepat.