KOTA KINABALU: Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah menetapkan Persidangan Agung Tahunan 2023 parti itu diadakan pada 26 November ini.
Ketetapan itu dibuat pada mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh presidennya Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada Jumaat.
Ketua Penerangannya Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, mesyuarat turut menetapkan Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat diadakan pada 25 November.

Sementara itu, mesyuarat di peringkat cawangan akan berlangsung dari 17 Julai hingga 31 Ogos manakala, mesyuarat bahagian dari 25 September hingga 15 Oktober.
Menurut Nizam lagi, tiada pemilihan jawatan dibuat pada persidangan tahun ini. Dan, semua 73 bahagian dan 4,976 cawangan Gagasan Rakyat telah dibentuk di seluruh Sabah.
“Semua sayap serta jawatankuasanya juga telah dibentuk,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu di Alamesra pada Jumaat.
Nizam berkata, semakin ramai yang memohon menyertai Gagasan Rakyat yang mana setakat ini parti sudah mempunyai keahlian hampir 300,000 orang.
Pada mesyuarat itu, turut membuat ketetapan menyokong penuh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Disamping menggariskan pendirian Gagasan Rakyat terhadap beberapa ketetapan yang membabitkan kepentingan Sabah dan rakyat negeri ini.
Antara ketetapan itu ialah menyokong segala usaha dan komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus dalam menangani masalah yang diwarisi daripada kerajaan lalu.
Katanya, ia termasuk masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya serta keperluan lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah yang lebih baik.
Gagasan Rakyat adalah sebuah parti tempatan yang sudah bertapak kira-kira 10 tahun di Sabah sebelum dijenamakan semula melalui pengambilalihan kepemimpinannya oleh bekas pemimpin BERSATU Sabah pada Februari lalu.
Sejak itu, parti berkenaan menjadi komponen terbesar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut disertai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).
Gagasan Rakyat kini mempunyai 26 Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah.