KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyatakan kerisauan terhadap pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Inovasi di negeri ini yang hanya menarik penglibatan kira-kira 27 peratus pelajar tahun ini, berbanding sasaran sebanyak 40 peratus.
Ketua Menteri berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dan Jabatan Pendidikan serta semua agensi terlibat perlu mengambil langkah segera mewujudkan satu pelan tindakan bersepadu agar sasaran jumlah penglibatan pelajar itu dapat dipertingkatkan menjelang 2025.
Tegas beliau, langkah itu perlu kerana kerajaan mensasarkan untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, Sains dan Teknologi bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan pada masa hadapan.
“Ini kerana kadar penglibatan pelajar dalam bidang STEM terutamanya sains tulen semakin menurun dan perkara ini membimbangkan.
“Kadar penglibatan pelajar dalam hidang STEM pada tahun ini hanya 27 peratus, masih jauh daripada sasaran kita untuk mencapai 60 peratus aliran Sains dan 40 aliran Sastera atau nisbah 60:40.
“Saya berharap KSTI, Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan dapat melahirkan satu pelan tindakan bersepadu bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Sains Sabah 2023 di SICC malam tadi. Turut hadir, Menteri KSTI, Datuk Dr Mohd. Ariffin Mohd. Arif dan Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Persekutuan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Ketua Menteri berkata, Pelan Strategik KSTI (2022-2025) telah digubal sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE atau Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi di Sabah.
“Dalam masa sama, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah turut merangka Pelan Strategik STEM 2023-2025 yang merangkumi pelbagi program lonjakan STEM yang melibatkan guru, pelajar, pentadbir sekolah serta ibu bapa.
“Seperti mana yang kita sedia maklum, generasi muda merupakan pelapis utama negara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan yang mencukupi dan berkemahiran tinggi untuk memacu pembangunan negeri dan negara.