Jeffrey tolak politik murahan Warisan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Parti Warisan kini tampil dengan propaganda terbaharu cuba melaga-lagakan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan mendakwa Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan lebih layak menjadi Ketua Menteri Sabah berbanding Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Jeffrey yang juga Presiden STAR ketika dihubungi berkata, langkah tersebut merupakan taktik terdesak Warisan dalam usaha memecah-belahkan Kerajaan GRS yang semakin kukuh.

Beliau menegaskan kesetiaannya kepada Kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri tidak boleh dipersoalkan, justeru sebarang perbandingan yang dibuat adalah amat tidak bertanggungjawab.

“Jelas sekali ini gerakan terdesak Warisan. Disebabkan tiada lagi isu untuk menghentam kerajaan, mereka kini bermain politik murahan, cuba melagakan sesama gabungan.

“Mereka menganggap strategi itu akan menyebabkan perselisihan dalaman GRS dengan menimbulkan perdebatan siapa lebih sesuai menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Beliau mengulas muat naik di Laman Facebook Warisan Anak Malaysia hari ini yang mendakwa Jeffrey lebih layak menjadi Ketua Menteri berbanding Hajiji dalam soal menuntut hak-hak Sabah.

Penjelasan Jeffrey itu merupakan jawapan tepat kepada Warisan yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka dapat menumbangkan Kerajaan GRS yang mendapat sokongan daripada rakyat Sabah.

Jeffrey yang menyatakan sokongan padu terhadap Hajiji turut menafikan mempunyai keinginan untuk menjadi Ketua Menteri.

“Pendirian saya terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri tidak boleh dipersoalkan. Tanggapan kononnya saya berminat jawatan itu tidak timbul,” jelas beliau.

You May Also Like