Hampir 8,000 senarai menunggu rumah LPPB

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) tidak pernah bertindak kejam menghalau penyewa di tiga penempatan iaitu Taman Puri Warisan Inanam, Taman Jaya Diri Kuala Menggatal dan PPR2 Taman Bukit Setia Menggatal seperti yang didakwa berikutan penularan sepucuk surat daripada pihak berkuasa itu baru-baru ini.

Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah berkata, surat itu bertujuan diserahkan kepada beberapa penyewa di tiga penempatan itu yang telah menyewa selama 10 tahun dan melebihi tempoh yang telah dipersetujui dalam syarat penyewaan asal iaitu lima tahun, namun dilanjutkan oleh kerajaan.

Tegas beliau, surat makluman itu juga tidak dikeluarkan secara mengejut sebaliknya para penyewa telah diberi peringatan beberapa kali semasa menandatangani surat lanjutan perjanjian penyewaan yang diperbaharui setiap dua tahun bahawa sewaan itu hanya sementara kerana masih terdapat hampir 8,000 rakyat susah dalam senarai menunggu.

“Setiap kali sebelum perjanjian ditandatangani pihak LPPB memberi penerangan kepada penyewa bahawa ini hanyalah sementara waktu, namun begitu atas keprihatinan kerajaan melalui LPPB, selepas lima tahun penyewa boleh juga merayu sehingga pada satu tahap kita panjangkan sehingga 10 tahun.

“Jadi itu jelas, surat ini meperingatkan penyewa yang melebihi 10 tahun bahawa sudah berakhir dan perlu kamu berusaha dengan anggapan tempoh 10 tahun itu penyewa sudah bersedia menyewa rumah lebih baik atau sudah mampu membeli rumah yang lebih baik.

“Sekarang ini mereka yang menunggu menyewa rumah adalah 7,900 dan orang-orang ini di seluruh negeri ada yang menyewa di Penampang atau Inanam mereka menunggu peluang alangkah baiknya mereka yang sudah 10 tahun dengan kerendahan hati bolehlah memberi peluang kepada orang lain,” katanya dalam siaran langsung di laman Facebook.

LPPB merupakan agensi kerajaan yang terlibat membantu menyediakan bantuan kemudahan rumah secara sewaan kepada rakyat Sabah dengan kadar serendah RM140 sebulan untuk tempoh lima tahun.

Kemudahan itu diberikan kerana objektif kerajaan adalah membantu golongan terbabit meningkatkan ekonomi masing-masing dalam tempoh tersebut sebelum mampu membeli rumah sendiri atau berpindah ke kediaman lain yang lebih baik.

Meskipun perjanjian asal sewaan cuma lima tahun, namun ramai penyewa yang dilanjutkan tempoh sehingga 10 tahun kerana kerajaan memahami kesukaran hidup yang dialami tetapi langkah itu tidak boleh menidakkan hak rakyat susah lain yang turut layak mendapatkan bantuan.

Masiung berkata, walaupun ramai yang berkeras namun terdapat juga kira-kira 30 peratus golongan penyewa yang berjiwa besar apabila mengosongkan rumah masing-masing selepas menyedari tempoh sewaan mereka sudah tamat.

Katanya, LPPB sentiasa memberi peringatan kepada setiap penyewa berkenaan kerana dasar dan polisi yang telah ditetapkan, justeru tidak timbul persoalan kakitangan agensi itu bertindak kejam kepada penyewa atau menghalau mereka keluar dengan serta-merta.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sentiasa mendengar rayuan setiap penyewa tetapi diakui ada pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada keprihatinan dan simpati yang diberikan.

Ini kerana katanya, ada segelintir penyewa yang sebenarnya amat berkemampuan, sehingga mampu memiliki beberapa kenderaan mewah, namun masih mahu terus menyewa di rumah-ruamh tersebut.

“Kita hidup ada panduan, berdasarkan rekod ada sampai 15 tahun ertinya masih ada ruang merayu tetapi itu kuasa pihak atasan dan pada masa sama walaupun saya buka ruang jangan sampai ada ambil kesempatan untuk tidak keluar rumah.

“Saya sudah periksa rumah-rumah di sana banyak kereta mahal parkir pada waktu malam, mana logiknya menyewa RM140 hingga RM180 sedangkan masih ada yang menunggu ruang dan lebih layak.

“Kalau tidak percaya pergi tengok pada waktu malam, sampailah kita terima aduan lot parkir tidak cukup itu ertinya ada yang lebih daripada satu kenderaan tetapi bila LPPB minta keluar tidak mahu pula,” tegas beliau.

You May Also Like