KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan satu pakatan politik yang amat kuat kerana terdiri daripada parti-parti tempatan, sesuatu yang sudah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah.
Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai berkata, sejak sekian lama rakyat Sabah berharap agar parti tempatan dapat mentadbir negeri ini selepas 30 tahun di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) dengan ditunjangi UMNO.
Katanya, dalam situasi pilihan raya negeri dalam tempoh dua tahun lagi, ini masanya untuk GRS lebih diperkukuhkan untuk rakyat Sabah.
“Kami sangat bersatu…perpaduan adalah perkara yang tidak boleh dikompromi untuk menjadi kuat dan relevan.
“Dan kami mesti bekerja keras berkhidmat kepada rakyat untuk memastikan sokongan berterusan mereka,” katanya hari ini.
Moh Chai turut memuji Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam kepimpinannya menerajui Kerajaan GRS.
“Dengan pengalaman dan keupayaan yang meluas serta sikap mesra Hajiji, beliau adalah kapten yang yang tidak boleh ditukar ganti dan akan membawa Sabah terus maju.
“Sudah tentu beliau adalah pemimpin yang baik, justeru saya yakin beliau mampu mengetuai GRS memenangi PRN akan datang,” katanya.
Beliau turut mengimbau penekanan yang dibuat oleh Hajiji agar setiap wakil rakyat dekat dengan akar umbi demi memastikan aspirasi mereka dapat ditunaikan.
“Berada dekat dengan rakyat untuk memenangi hati dan minda mereka,” kata Hajiji seperti dilaporkan sebelum ini.
GRS yang dilancarkan Mei tahun lalu dianggotai enam parti iaitu PBS, STAR, Parti Progresif Sabah (SAPP), USNO, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Kerajaan GRS turut mendapat sokongan daripada tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, Moh Chai turut mengingatkan pemimpin GRS walaupun mereka mempunyai rekod yang baik namun jangan terlalu yakin menyebabkan pemimpinnya lupa diri.