KOTA MARUDU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tandek, Datuk Dr Jonathan Kandok bertekad menyahut cabaran memastikan parti itu menjadi pilihan pengundi dalam pilihan raya negeri akan datang.
Jonathan berkata, walaupun parti itu masih baharu, ahli jawatankuasa bahagian perlu fokus dan bekerja keras menarik sokongan dengan menjalankan aktiviti-aktiviti yang melibatkan rakyat di kawasan masing-masing.
Katanya, di peringkat pengurusan parti, Gagasan Rakyat Bahagian Tandek kini sedang menyiapkan pelan tindakan membabitkan lima perkara iaitu visi, misi, nilai utama, falsafah dan strategi yang akan menjadi pedoman setiap ahli dan memberi keyakinan kepada pengundi.
“Sehubungan itu, saya ajak semua untuk mengurus kejayaan Tandek. Syarat utama untuk tuju kejayaan ialah sikap tidak sambil lewa, mesti serius, apa bukti serius…mesti ada perancangan. Dalam peringkat merancang, hidup kita sebagai AJK Bahagian memang susah,” katanya ketika berucap sempena Bengkel Penetapan Program Gagasan Rakyat Tandek di Sorinsim, Kota Marudu kelmarin.
Turut hadir pimpinan Gagasaran Rakyat Tandek iaitu Timbalan Ketua Bahagian, Jeson Majimal; Naib Ketua Bahagian, Singan Lingkuban, Ketua Wanita, Norainah Selamat, Ketua Pemuda, Hilman Lontuban dan Ketua Beliawanis, Siti Haqira Jondly serta AJK Bahagian.
Menurut Jonathan, lima perkara tersebut penting untuk memastikan gerak kerja parti teratur dan mencapai matlamat utama untuk berkhidmat kepada rakyat.
Jelasnya, rasa seronok untuk berkhidmat kepada rakyat akan timbul dalam diri sekiranya pimpinan bahagian sentiasa melakukan aktiviti bersama akar umbi yang tentunya akan turut mendapat sokongan daripada pimpinan tertinggi parti terutama Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Bagi saya, jika kita buat tanpa lima perkara itu semua kegiatan kita adalah dalam bentuk eceran, tidak kukuh, tiada hala tuju dan tiada panduan serta dilakukan mungkin bukan dalam konteks yang diperlukan pemimpin kita.
“Tetapi percayalah lepas kita tetapkan apa kita buat dan mula lakukan kegiatan, apa lagi selalu jumpa rakyat, hidup kita sebagai ahli politik mula seronok. Kita rasa lebih berguna kepada masyarakat.
“Di situlah kejayaan kita bermula dan nampak kesan kepada pemikiran, sikap dan tindakan rakyat terhadap setiap kita. Ketika itu, rakyat melihat kita ada tujuan, tahu apa kita buat, atasan bukan sahaja tahu siapa kita sebenar malahan kita berani pula datangkan mereka ke Tandek, satu demi satu untuk minta sokongan moral dan nasihat,” tegasnya.